10 May 2009

TAHNIAH YAB DATO' SERI USTAZ AZIZAN, YB WIRA HJ RASLI & YB DAT0' HJ MOHD PUAT

Teratak Kasih: 10 Mei 2009
Asri Redha

Tanggal 6 Mei 2009 bertempat di Istana Anak Bukit telah berlangsung Istiadat Pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (SUK) dan Pegawai Kewangan Negeri Kedah (PKN). Tahniah diucapkan kepada YB Dato' Seraja Setia Dato' Wira Hj Rasli b. Basir sebagai SUK dan YB Dato' Hj Mohd Puat b. Mohd Ali. Kedua-duanya memang berketrampilan dan mempunyai keupayaan tinggi dalam menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah ini. YB Dato Wira Hj Rasli memang telah sampai waktu dan gilirannya untuk menjadi SUK sepertimana yang dijangkakan. Semoga beliau berjaya memimpin pentadbiran kerajaan negeri Kedah ini dengan cemerlang dan juga memimpin kami Pegawai Tadbir Negeri Kedah yang masih memerlukan bimbingan dan asuhan beliau.

Yang agak mengejutkan ramai ialah pelantikan YB Dato Hj Mohd Puat b. Mohd Ali sebagai Pegawai Kewangan Negeri Kedah. Ianya tentu agak mengejutkan banyak pihak memandangkan ada lagi pegawai KCS yang lebih senior. Ramai yang mengidam-idamkan jawatan tersebut, namun bagi saya sejak awal lagi sudah menjangkakan Dato' Hj Puat ini mempunyai peluang yang cerah, dan telah terdetik dihati kecil saya pada waku Kerajaan Negeri diambilalih oleh Kerajaan Pakatan Rakyat bahawa beliau memang orang sesuai untuk dipilih ke jawatan yang penting itu. Dari cara pembawaan dan pendekatan yang dilaksanakan dalam bidang tugasannya telah nampak sikap profesionalnya yang tidak begitu terbawa-bawa dalam kekalutan mengejar pangkat dan sanjungan. Namun cara pendekatan beliau yang 'smart' dan sikap yang dibawa itu sebenarnya menarik perhatian peringkat tertinggi kerajaan dan seterusnya mencalunkannya sebagai Pegawai Kewangan Negeri dan KDYMM Tuanku Sultan Kedah juga telah memberi titah persetujuannya. Maka jadilah beliau seperti sekarang ini. Semoga beliau dapat menjalankan tugas beliau dengan penuh ketakwaan, keimanan, telus, ikhlas dan cekap.


Tahniah kepada YAB Dato' Seri Ustaz Azizan yang telah berjaya menerajui Kerajaan Negeri Kedah hampir setahun tanpa masalah besar. Setahu saya YAB Ustaz Azizan Abdul Razak memang amat mengenali keluarga saya di Sungai Limau dan keluarga YB Dato' Hj Mohd Puat secara mendalam terutama orang-orang Acheh di daerah Yan ini. Tok Nenek keluarga kami memang rapat dengan tok nenek keluarga YAB Ustaz Azizan malahan ada bau-bau bacang dengan beliau. Orang Acheh memang kental dan berani. Daerah Acheh di Pidie Indonesia memang terkenal dengan kehebatan orang Acheh berjuang. Boleh dikatakan setiap orang Aceh ada membawa pisau rencong untuk keselamatan diri dan membunuh orang Belanda jika berpeluang.

Saya sendiri dulu amat rapat dengan bapa saudara YAB Ustaz Azizan iaitu aruah Pak Teh Mat. (Beliau bekas Penghulu dan bekas Yang Berhormat). Pak Teh Mat ni orang kuat UMNO manakala anak saudaranya Ustaz Azizan kuat PAS. Walaupun begitu setahu saya hubungan kekeluargaan mereka amat rapat. Boleh dikatakan kawasan Sungai Limau semuanya ada hubungan adik beradik. Macam ada perjanjian kalau Pak Teh Mat jadi calun, orang Pas payah nak menang, tapi kalau letak orang lain, jangan harap nak menang. Abang saya Hj Radzi kawan rapat dengan YB Ustaz Azizan walaupun dia kuat UMNO. Begitu juga dengan isteri YAB Dato Seri , YABhg Tok Puan adalah satu kelas dengan Balakiah kakak saya di Sekolah Menengah Sultanah Asma dulu. Bila ada khenduri khendara adik beradik saya kat Sungai Limau maka pasti akan mai Ustaz Azizan. Tapi waktu tu YB biasa saja. Tak taulah la ni bila jadi YAB MB..

Keluarga Dato' Hj Mohd Puat ini bukan calang-calang juga keluarganya dimana seorang daripada bapa saudaranya pernah menjadi Ketua Polis Negara. saya juga ada hubungan keluarga dengan keluarga YB Dato' Hj Mohd Puat ini malahan ada adik-adiknya pernah bersekolah sekali dengan saya walaupun dilain kelas dan tingkatan di Sek Men Yan. Mungkin mereka sekarang dah tak ingat lagi saya, tapi saya masih ingat akan kisah-kisah masa di sekolah menengah dulu. Dato' Hj Mohd Puat juga pernah jadi guru sementara kat Sekolah Menengah Yan dulu dan pernah mengajar saya sekejap masa tingkatan 2. Saya juga pernah bertugas sebanyak 3 kali dibawah Dato' Hj Mohd Puat tapi tak lama iaitu di UPEN , MPSPK dan di Pejabat Daerah Langkawi.

Dari segi salasilah hubungan keluarga saya, bapa saudara nenek saya ada seorang anak  bernama Tok Lang Ibrahim telah berkahwin dan mendapat seorang anak perempuan (akupun tidak pasti nama apa, tapi itulah nenek Dato Hj Puat) dan anak perempuan ini telah berkahwin dengan Nyak Osman. Nyak Osman adalah orang Acheh yang tinggal sekampong dengan Tok Wan aku di Meunasah Blang Mee, Kampong Aree,di Kewedenaan Sigli Daerah Pidie,Acheh yang sama-sama merantau ke daerah Yan ini. Sebenarnya saya pun tidak pernah pergi lagi ketempat tu. Entahlah bila agaknya dapat peluang pergi kesitu nak tengok keturunan saya kat sana. Dengar kata ada banyak yang meninggal masa Ombak Tsunami lalu. Namun masih ada lagi saki baki keluarga saya kat sana, tapi kehidupan mereka dikatakan tidaklah semewah disini, masih lagi macam tahun 60 an dulu.

Ini bermakna Nenek saya (Aishah) adalah sepupu kepada (Nenek Dato Hj Puat) yang berkahwin dengan Nyak Osman . Nyak Osman mempunyai anak-anak yang sekadar saya ketahui namanya Tan Sri Mohd Amin yang pernah jadi Ketua Polis Negara dan Mohd Ali ( lebih mudah dikenali sebagai Ali Insuran) ayah kepada YB Dato' Hj Mohd Puat sekarang ini. Ayah beliau masih ada tetapi agak uzur juga dan sayapun lama tak pernah pergi ziarah beliau. Dulu-dulu dia memang kerap mai Sg Limau Dalam masa ayah dan ibu masih ada. Mereka memang rapat, kerana komuniti dari Acheh memang rapat apabila mereka berada diperantauan seperti di Sungai Limau Dalam dan Yan.  Apa-apa kejadian, kenduri-kendara dan sebagainya pasti sampailah beliau ke Sungai Limau Dalam.

Jadi bapa saya Allahyarham Hj Abdul Rahman Nyak Hussein adalah 2 pupu dengan bapa YB Dato' Hj Mohd Puat. Kiranya saya ni 3 pupulah dengan YB Dato' Hj Mohd Puat. Orang dulu-dulu walaupun 3 pupu atau 2 pupu memang rapat, tidaklah macam sekarang ni, sepupupun dah tak berapa nak kenal lagi. Seperti saya pernah cerita dalam blog sebelum ini dalam kalangan keluarga aku sendiripun walau pangkat sepupu dah ada yang tidak pernah tengok dan bertegor sapa...tak taulah dunia sekarang ni apa nak jadi...

Asri...tumpang seronok tengok orang berjaya.

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASIA INGGERIS (PPSMI) ....Apa Kesudahannya ?



10 Mei 2009, Teratak Kasih
Asri Redha

Hingga ke saat ini isu PPSMI belum lagi diberi kata putus oleh kerajaan walaupun bantahan-bantahan demi bantahan yang diterima. Terakhir ialah penentangan secara lebih drastik oleh kalangan para sasterawan dan pejuang bahasa kebangsaan yang sudah tidak tahan lagi dengan kelambatan kerajaan membuat keputusan berkenaan isu pelaksanaan PPSMI ini.

Kajian kementerian baru-baru ini seolah-oleh berat kepada hendak meneruskan juga pelaksanaan PPSMI ini dengan beberapa pengubahsuaian kecil yang berpilih-pilih. Namun YAB Menteri Pelajaran yang baru telah menolak cadangan dan meminta dibuat kajian semula dengan lebih menyeluruh. Beliau ini aku rasa amat memahami akan kehendak akar umbi sebenarnya. Kalau Menteri Pelajaran yang lama aku tak tahulah. Beliau asyik menyalahkan orang lain sahaja, kalau buat bantahan dan komen pasti dikatakan orang atau pertubuhan yang mengkritik itu ada agenda lain disebalik itu..

Sudah jelas lagi terserlah bahawa salah satu punca rakyat kurang memberikan sokongan kepada Barisan Nasional dalam pilihanraya lalu ialah kerana pelaksanaan PPSMI ini. Namun pihak pembuat dasar yang membuat keputusan tutup telinga dan mata mereka atas alasan demi kepentingan bangsa melayu itu sendiri........Siapa yang tidak mahu mempertahankan survival orang melayu di Malaysia ini. Tetapi biarlah cara yang lebih strategik dan kreatif sikit.

Hasil-hasil kajian oleh pakar-pakar dalam bidang pendidikan telah dipaparkan dan kebanyakannya menjurus kepada dikaji semula pelaksanaan PPSMI itu, kerana ianya amat merugikan bangsa Melayu sendiri selain mengenepikan dan menjatuhkan martabat bahasa Melayu itu sendiri.

Kajian oleh UPSI sendiri telah mendapati 70% pelajar Melayu/Bumiputera di sekolah kebangsaan terutaa golonga sosioekonomi rendah di bandar dan luar bandar berdepan kesusahan belajar kedua-dua mata pelajaran berkenaan dalam bahasa inggeris. KEadaan ini akan berterusan.

Oleh kerana asas matematik dan sains pada peringkat rendah lagi sudah lemah, maka apatah lagi ianya akan dibawa ke peringkat menengah dan tinggi. Golongan yang mendapat faedah daripada pelaksanaan PPSMI ini ialah antara 20% - 30% pelajar sahaja dari kalangan keluarga profesional, golongan menengah dan bandar yang sebahagian besarnya menggunakan bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa keluarga.

Adalah sesuatu yang tidak masuk akal jika kita katakan kecekapan bahasa inggeris itu menjadi prasyarat utama untuk membolehkan pelajar meneruskan pelajaran tinggi dalam bidang sains, teknologi dan matematik dengan lebih baik. Sistem yang dibuat sebelum pelaksanaan PPSMI ini sememangnya telah berjalan dengan baik, entah kenapa ianya dikatakan orang melayu tidak boleh meningkat lebih tinggi lagi kalau belajar sains dan matematik dalam bahasa melayu. Adakah ada agenda lain disebalik pelaksanaan tersebut yang tidak disedari oleh pembuat dasar dan yang mana boleh menjahanamkan terus bahasa melayu dan seterusnya orang melayu menjadi semakin ketinggalan pelajaran.

Pada saya pengetahuan yang kukuh dalam sains dan matematik disekolah rendah dan menengah menjadi prasyarat pengajian tinggi dalam pelbagai sains dan teknologi tinggi, tidak kiralah dalam bahasa apa dia belajar, bukannya hanya bahasa Inggeris sahaja. Kalau mereka lemah dalam sains dan teknologi diperingkat sekolah rendah dan menengah lagi maka macamana mereka hendak melanjutkan pelajaran tinggi dalam bidang sains dan teknologi, bukan kelemahan dalam bahasa inggeris. Pengetahuan yang kukuh dalam sains dan matematik (sebelum pelaksanaan PPSMI) telah membolehkan pelajar melayu menyambung pelajaran tinggi dengan mudah di Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Perancis, Korea, Jerman, Rusia dan sebagainya. Dengan mudah mereka belajar bahasa kedua untuk membolehkan mereka meneruskan pengajian mereka sebab pengetahuan matematik dan sains mereka adalah kukuh.

Anak saya sendiri dapat tawaran belajar teknikal di Jepun dimana kita difahamkan mereka langsung tidak menggunakan bahasa inggeris, tetapi pengalaman lalu jelas pelajar-pelajar tersebut belajar bahasa Jepun dalam tempoh tidak sampai 2 tahun dan seterusnya belajar teknikal dalam bahasa Jepun di negara matahari terbit tersebut. Bolehpun mereka belajar teknikal dalam bahasa Jepun pula tu.

Jadi dasar PPSMI ini telah mengecilkan peratus dan bilangan pelajar melayu yang cekap dalam matematik dan sains untuk pengajian tinggi dalam bidang sains, teknologi dan profesional. Bagi saya dan sebahagian besar pejuang bangsa dan bahasa, dasar PPSMI ini adalah satu kesilapan besar dan strategi yang salah untuk membina bangsa melayu yang berjaya. Ianya akan melebarkan lagi jurang kaum yang yang sememangnya orang melayu masih lagi jauh ketinggalan.

Sebenarnya dasar balik menggunakan bahasa melayu untuk pengajaran sains dan matematik tidaklah sesukar yang digambarkan oleh pihak pembuat dasar. Kadang-kadang mereka itu malu untuk mengakui kesilapan besar yang dilakukan. Tetapi terimalah hakikat bahawa orang melayu tidak boleh terima cara yang dibuat itu.

Apa yang penting ialah baikilah kurikulum dan pendekatan bahasa inggeris untuk meningkatkan penguasaan bahasa inggeris pelajar sekolah rendah dan menengah kita. Buatlah supaya belajar bahasa inggeris menjadi pelajaran yang menyeronokkan dan tidak membosankan pelajar. Kalau semua pelajar boleh menguasai bahasa inggeris akan lebih bertambah peluang mereka meneroka lebih banyak lagi ilmu-ilmu yang ada.



12 Julai 2009: Makmal ICT, WDA

PERKEMBANGAN TERKINI...

Alhamdulillah, apa yang aku bimbangkan selama ini semakin terlerai dengan pengumuman YAB Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Malaysia YAB Dato' Seri Muhyiddin b. Yassin yang telah mengumumkan bahawa PPSMI tidak lagi akan dilaksanakan sepenuhnya berkuatkuasa 2011. Walau bagaimanapun bagi pelajar yang sedang berada dalam program PPSMI ini mereka telah diberi kebebasan untuk memilih samaada belajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris atau dalam bahasa Malaysia/Tamil/China. Sepatutnya perkara ini sudah lama diumumkan agar pelajar-pelajar dan ibubapa tidak hilang arah tujuan dalam sistem pendidikan kita.

Kajian-kajian akademik yang dijalankan oleh beberapa universiti tempatan telah menunjukkan memang tidak ada peningkatan dalam penguasaan matematik dan sains walaupun diajar dalam bahasa Inggeris, malahan semakin terok terutama bagi murid-murid yang berada di luarbandar yang serba kekurangan itu. Dengan kekangan guru-guru berpengalaman dalam bahasa Inggeris menambahkan derita lagi murid-murid yang terlibat. Sayapun tidak tahu apalah yang susah sangat nak buat keputusan untuk menarik balik program ini dari awal lagi. Kesannya negara rugi berbilion ringgit sedangkan hasilnya tidaklah sepertimana yang diharapkan...Nah sekarang kan kah senang.

Memang ada juga orang yang tidak setuju dengan pembatalan program PPSMI ini, tapi memanglah kita kena mengikut kehendaki majoriti terutama penduduk-penduduk yang tinggal dipendalaman dan diluar bandar yang masih lagi jauh ketinggalan dalam pelbagai segi .Jangan hanya percaya pada undi dalam internet dan sms sahaja. Orang-orang kampong berapa kerat sangat yang ada komputer dan berinternet pula tu.

Apa yang saya harapkan ialah pihak kerajaan dapat mempertingkatkan lagi pembelajaran bahasa Inggeris dengan lebih sistematik, menarik dan berkesan. Dengan kebolehan dalam bahasa Inggeris akan membolehkan anak-anak muda kita dapat meneroka lebih jauh lagi tidak sahaja ilmu sains dan matematik malah segala ilmu-ilmu yang ada didunia ini.

06 May 2009

Perubahan Kepada Lanskap Politik;Cabaran Kepada Perkhidmatan Tadbir Negeri Kedah


Tanggal 30 April 2009 bertempat di Hotel Regency Alor Setar telah berlangsung 'Seminar Pengurusan Perubahan' anjuran Bahagian Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah. Seminar ini diadakan sempena Sambutan 100 Tahun Perkhidmatan Pegawai Tadbir Negeri Kedah. Dengan tema Perubahan Landskap Politik; Cabaran Kepada Perkhidmatan Awam beberapa tokoh akademik telah dijemput untuk membentangkan beberapa kertas kerja yang relevan dengan Perkhidmatan Pegawai Tadbir Negeri Kedah. Antaranya Prof Tan Sri Dato' Dr Khoo Kay Kim Tokoh Sejarah dan Ahli SUHAKAM, Prof Dr Shamsul Amri Baharuddin dari UKM, Prof Madya Dr. Mohamad Agus Yusuf dari UKM, Tan Sri Datuk Dr Arshad b. Ayub tokoh pendidikan yang juga merupakan pengasas ITM dan dalam kalangan PTN sendiri oleh Dato' Hj Mohd Puat b. Mohd Ali.

Secara rumusannya seminar ini berjaya meghubungkaitkan peranan Pegawai Tadbir Negeri Kedah dengan perubahan lanskap politik negara dan negeri. Perubahan dalam parti yang memerentah di negeri Kedah tidak memberi apa-apa kesan-kesan dalam pentadbiran negeri Kedah. Inilah yang berlaku di Kedah dimana pada 8 Mac 2008 apabila parti pembangkang dibawah Pakatan Rakyat telah berjaya menguasai kerajaan Negeri Kedah . Pada awalnya ianya agak mengejutkan juga bagi pegawai PTN kerana sudah begitu lama kerajaan negeri diperentah oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Namun pada akhirnya Pegawai Tadbir Negeri seperti aku ini dapat menyesuaikan diri dengan perubahan mengejut. Sikap profesional yang ditunjukkan oleh Pegawai Tadbir Negeri begitu juga yang ditunjukkan oleh pihak PR maka peralihan kuasa ini berjalan dengan begitu lancar dan aman tanpa masalah.

Disinilah letaknya kewibawaan Pegawai Tadbir Negeri Kedah dalam menghadapi perubahan lanskap politik di negeri Kedah ini. Pegangan kepada konsep nutral dalam perkhidmatan awam telah berjaya mengekalkan kesinambungan pentadbiran Pegawai Tadbir Negeri Kedah. Aku amat berbangga kerana terlibat secara langsung dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan negeri Kedah ini.

Keadaan ini amat berbeda dengan negeri-negeri lain yang menghadapi keadaan dan situasi yang sama seperti Kedah sepertimana yang berlaku di Negeri Perak, dimana Pegawai Kerajaan hingga kini masih keliru dengan kedudukan dan kuasa kerajaan sebenar yang memerentah dan beberapa persoalan perundangan yang dipertikaikan serta perbedaan fahaman mengenai undang-undang yang sedia ada.

Kehebatan PTN dalam pentadbiran perkhidmatan awam negeri Kedah tidak dapat dinafikan lagi. Bukti dan fakta-fakta yang ada telah ditunjukkan. Namun untuk bergerak dengan lebih agresif agak sukar memandangkan banyak halangan yang terpaksa ditempohi seperti kedudukan kewangan negeri yang agak kritikal. Disamping itu PTN memerlukan satu pasukan besar yang benar-benar memberi komitmen kepada negeri Kedah. Apatah lagi dalam keadaan sekarang perhubungan secara langsung dengan Kerajaan Persekutuan agak kurang memberangsangkan dan sudah tentu ada tindakan-tindakan negatif akan diambil oleh pihak Persekutuan dibawah kerajaan BN memandangkan negeri Kedah diperintah oleh Kerajaan PR. Sepatutnya dalam hal-hal pentadbiran tidak timbul isu pilih kasih kerana sebagai anggota perkhidmatan awam kita perlu bersikap nutral dalam tindakan kita tanpa mengira siapa yang memerentah dan tanpa mengira fahaman politik rakyat tersebut. Semua kita adalah rakyat Malaysia mengapa perlu ada pilih kasih dan berpilih-pilih dalam memberi perkhidmatan dan bantuan.

Cuma aku amat mengharapkan sangat agar semua Pegawai Tadbir Negeri yang ada ini dapat bersatu padu dalam segala tindakan kita. Kalau ada paku longgar dimana-mana perlu diketatkan balik oleh tuan rumah. Bimbang juga aku ada juga kalangan rakan-rakan yang tidak mahu ambil kisah langsung akan hal-hal pentadbiran negeri, apa nak jadi, jadilah.

Aku amat tertarik dengan satu pandangan salah seorang ahli panel yang dijemput yang menyebut berkenaan 'Konsep Kesementaraan' Mengapa anggota perkhidmatan awam perlu khuatir dengan perubahan-perubahan lanskap politik negara dan negeri. Ini adalah perkara biasa dimana-mana negara selagi kita mengamalkan demokrasi. Tampok pemerentahan tidak semestinya sama sepanjang masa. Ada masanya ia akan berubah. Jadi janganlah kita terikut-ikut yang keterlaluan dalam hal ini. Sebagai pegawai kerajaan kita kenalah jalankan tugas kita sepertimana biasa dan ikutlah apa-apa dasar yang digariskan oleh pemerentah asalkan tidak bertentangan dengan moral dan agama dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Negeri dan Negara.

OK berhenti disini dulu nanti sambung balik.... ada kerja perlu dibereskan..
sriredha
teratak kasih
alor setar
There was an error in this gadget