19 June 2009

TERPINGGIR DI NEGARA SENDIRI

Salam Sejahtera,

Jumpa lagi dalam celoteh saya. Mlm ni syeh elok sikit, kelmarin baru habis ikut program Pemimpin Bersama Rakyat Peringkat Daerah Sik. Semua berjalan lancar. Melibatkan ramai pemimpin YB dari Pakatan Rakyat. Sehari suntuk sampai malam ikut YAB Menteri Besar Kedah. Tuan DO nampak senang hati tidak ada apa-apa masalah sepanjang program ini berjalan. Apa yang tak berapa seronok pembangkang dok tuduh DO dok sabotaj pihak pembangkang di negeri Kedah..Depa ni kadang-kadang tidak mahu faham apa itu 'kakitangan kerajaan' Kalau depa faham mereka tidak akan tuduh begitu Begitulah kami Pegawai Tadbir Negeri kenalah ikut rentak dan angin semasa. Apa yang diarah buat kita buatlah sebagai memenuhi tanggungjawab kita kepada kerajaan yang memerentah.




Keterangan Gambar Kanan: Pejabat Tanah Sik terlibat dalam penyampaian geran tanah kepada pemilik-pemilik tanah di Majlis Perasmian Pemimpin Bersama Rakyat pada 18 Jun 2009. Geran Tanah tersebut diserahkan sendiri oleh YAB Dato' Seri Uztaz Azizan b. Abdul Razak, Menteri Besar Kedah DA kepada lebih 60 orang penerima. Inipun rasanya menimbulkan rasa kurang senang pihak-pihak tertentu yang menyatakan Pejabat Daerah & Tanah Sik menjadi penyokong kuat kerajaan Pakatan Rakyat. Sepertimana yang saya sentiasa katakan bahawa kakitangan kerajaan negeri Kedah adalah bersikap sederhana dan ikut keadaan semasa serta nutral. Rakyat menjadi keutamaan. Sesiapa yang memerentah, kita akur dan terima segala dasar-dasar yang diperkenalkan serta melaksanakannya jika diarah. Tidak timbul soal-soal beralih angin. Kalau nak tengok bagaimana Pegawai Tadbir Negeri bertindak profesional cubalah pulun betul-betul ambil balik pentadbiran negeri dalam pilihanraya akan datang dan tengoklah macammana PTN bertindak...tidak ada bedanya sesiapa sahaja yang memerentah. Kerjasama yang tidak berbelah bagi sentiasa dibeikan. Yang pentingnya mana-mana pihak jangan perkecilkan peranan yang dimainkan oleh pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan negeri dalam pentadbiran dan pembangunan negara dan negeri.



Mimbar kali ini nak ulas isu inilah. Saya nak kena bagi 'clear' situasi ini agar tidak timbul tohmahan-tohmahan yang tidak enak didengar.

Sebenarnya sudah lebih 16 bulan kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS memerentah di negeri Kedah DA ini. Sepanjang masa ini saya berpeluang bertugas di dua jabatan yang penting iaitu di Pejabat Daerah Langkawi dan sekarang di Pejabat Tanah Sik. Daerah Langkawi kawasan Parlimen dan DUNnya masih dikuasai oleh kerajaan Barisan Nasional, manakala di Sik kawasan Parlimen dan satu kawasan DUN dikuasai oleh PAS dan satu DUN lagi dikuasai oleh BN/UMNO. Saya merasai apa tindakan yang dibuat oleh kerajaan baru ini dan apa tindakan yang telah dibuat oleh kerajaan BN diperingkat persekutuan.

Saya nak cerita disini betapa sedihnya dan tergurisnya dihati ini dan mungkin juga kawan-kawan lain yang bertugas di bawah kerajaan negeri Kedah ini apabila rakan-rakan dan sahabat dari jabatan persekutuan yang selama ini berkawan rapat dan mesra dan saling bantu-membantu antara satu sama lain tiba-tiba sebahagian besarnya pula meminggirkan jabatan negeri dan yang langsung tidak memberi kerjasama kepada aktiviti kerajaan negeri..

Tidak tahulah apalah salahnya jabatan-jabatan kerajaan negeri ini. Kalau orang politik meminggirkan kita, tidak apalah juga sebab mereka memang ahli politik dan fahaman dan pegangan politik mereka mestilah berlainan dengan parti yang lain. Sistem demorasi di Malaysia membenarkannya. Mereka sudah semestinya tidak mahu lagi berurusan dengan kerajaan yang menjadi pembangkang kepada mereka..

Apakah tindakah meminggirkan jabatan-jabatan negeri oleh jabatan persekutuan disebabkan oleh orang politik yang memegang jawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan Menteri dan sebagainya, ataupun Pegawai Pegawai atasan peringkat Ketua Setiausaha Negara, KSU Kementerian atau Ketua-Ketua Pengarah yang pandai-pandai dok bagi arahan orang dibawah jangan beri kerjasama kepada Kerajaan Negeri atas alasan negeri Kedah dibawah Kerajaan Pembangkang atau Kerajaan Pakatan Rakyat. Ini yang saya agak musykil sangat. Betulkah mereka mendapat arahan dari Menteri untuk tidak lagi menghiraukan kerajaan negeri.

Kadang-kadang sekali fikir apakah mungkin arahan yang diberikan itu kerana pegawai-pegawai tinggi kerajaan tersebut mengambil tindakan seperti orang politik demi menjagi periok nasi mereka atau atas sebab lain.. kata orang nak cari makan..

Sebagai kakitangan kerajaan rasanya parti manapun yang mengambil alih kerajaan mereka tetap rakyat Malaysia dan berhak menentukan kearah mana hendak dibawa sesebuah negeri atau negara. Pandai-pandailah parti yang memerentah merencanakan dasar serta polisi yang sesuai untuk dilaksanakan untuk menambat hati rakyat sebagai pengundi. Pegawai kerajaan hanya melaksanakan sahaja apa-apa sahaja dasar yang ditetapkan asalkan ianya tidak bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia dan sebagai orang Islam ianya tidak bercanggah dengan kehendak-kehendak ugama kita.

Silap perancangan, perangai dan kelakuan YB yang tidak senonoh/bermoral dan malas bekerja serta gagal melaksanakan dasar yang ditetapkan maka tunggulah saat kejatuhannya. Kadang-kadang cepat dan kadang-kadang lambat untuk mendapat perhatian rakyat samada ditolak atau disokong kerajaan semasa. Di Kedah hampir 50 tahun baru rakyat Kedah menolak kerajaan Barisan Nasional. Satu jangkamasa yang agak lama untuk mendapat keputusan tersebut. Begitu juga di Pulau Pinang dan Selangor. Perak baru sahaja diambil balik oleh Barisan Nasional tetapi kes tersebut masih lagi terumbang-ambing kerana kemenangan yang tidak kukuh.

Persoalannya adakah kekalahan BN di Kedah disebabkan oleh pegawai-pegawai Kerajaan atau jabatan kerajaan yang tidak menjalankan tugas atau mensabotaj parti yang memerentah pada waktu itu. Saya juga telah berceloteh panjang sebahagian antara sebab yang menyebabkan rakyat mula tidak menyukai kerajaan BN pada waktu itu...Ada banyak lagi faktor-faktor lain yang memberi kesan besar terhadap penolakan rakyat kepada BN dalam blog sebelum ini.

Sepanjang saya bekerja di negeri Kedah selama lebih 23 tahun dan pernah menjadi Penolong Pegawai Pengurus Pilihanraya sebanyak 5 kali dan pernah bertugas diperingkat akar umbi selama lebih 20 tahun tidak nampak satupun yang nak dikatakan nak buat sabotaj kepada kerajaan yang memerentah. Tolong lagi adalah.

Pada pandangan saya kekalahan parti yang memerentah bukan kerana jentera kerajaannya tetapi kerana rakyat tak mahu atas sebab-sebab lain yang kebanyakannya atas sebab peribadi/moral sebahagian besar YB yang tidak melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya dan beberapa dasar yang dilaksanakan amat tidak menyenangkan rakyat. Pembangunan bukan isu besar sebenarnya. Banyak sudah contoh-contoh yang nyata dimana sokongan kepada kerajaan yang memerentah masih sukar diperolehi walaupun banyak projek dan sumbangan kewangan dilaksanakan disesuatu kawasan. Kita juga hairan bagaimana negeri Kelantan masih lagi ketinggalan dari segi pembangunan tetapi rakyat tetap memberikan sokong tidak berbelah bagi kepada Kerajaan Pas di Kelantan. Mengapa tidak dibuat kajian akademik yang lebih menyeluruh terhadap negeri Kelantan dan ambil itu sebagai panduan dalam memastikan sokongan rakyat tidak berbelah bagi kepada pemerentah.

Oklah dok menguap kerap sangat ni.....kena behenti kat sini dulu..nak kena pi tidoq dulu.....nantilah bila ada masa nanti saya akan ketok balik keyboard ini bagi jadi perkataan-perkataan yang mengandungi seribu makna itu..keyboard kalau tidak tidak diketok tidak ada makna....orangpun kalau tidak diketok sekali sekala ..dia lupa diri....good night

00.00.00 ...9.00 mlm

Salam sejahtera ...

Nak sambong lagi apa yang diborakkan terdahulu beberapa malam yang lalu. Sambil pekena kopi tongkat ali harap tidak mengantok awal malam ni...Bukannya ada apa, kadang-kadang program TV yang macam-macam ada, kadang-kadang membuatkan kita leka setiap malam hingga tidak menumpukan perhatian kepada perkara-perkara lain yang lebih berguna seperti sembahyang berjemaah maghrib dan Isyak di Masjid, membaca Al Quran, membaca kitab-kitab, dan membaca buku-buku yang lebih menambahkan ilmu dan membuka minda kita. Anak-anakpun kalau dibiarkan tidak terkawal, boleh lupa diri terhadap kerja-kerja sekolah mereka dan juga mengulangkaji pelajaran.

Oklah...saya ingin memberi pandangan saya bahawa adalah satu kesilapan besar kepada kerajaan BN yang tidak lagi memerentah Kerajaan Negeri Kedah meminggirkan terus jabatan-jabatan kerajaan negeri. Tapi inilah yang sebenarnya berlaku di negeri Kedah ini. Tahukah sesiapa yang berkenaan bahawa pada perkiraan saya lebih 70% kakitangan kerajaan negeri Kedah pada waktu sebelum diambil alih oleh Kerajaan Pakatan Rakyat adalah penyokong kuat kerajaan BN malahan sebahagian besarnya adalah ahli UMNO.

Mereka ini semua bekerja disemua jabatan dan peringkat diseluruh daerah negeri Kedah ini..Saya fikir tidak perlulah terlalu drastik jabatan persekutuan di negeri Kedah ini mengambil tindakan yang seolah-olah kakitangan Kerajaan Negeri Kedah adalah juga penentang kuat kerajaan BN. Saya rasa kekalahan BN di Kedah tidak ada kena mengena langsung dengan jentera Kerajaan Negeri Kedah. Jadi tidak ada sebab jabatan-jabatan ini dipinggirkan. Pegawai Kerajaan Negeri Kedah dan Persekutuan adalah dibawah tanggungjawab Jabatan Perkhidmatan Awam juga. Arahan KP JPA merupakan arahan yang perlu diakur juga oleh pegawai negeri, pencen kakitangan negeri juga dibawah tanggungjawab JPA dan banyak lagi yang menunjukkan tidak ada bedanya antara pegawai kerajaan negeri dengan persekutuan.

Pernah berlaku peristiwa pegawai negeri yang dijemput oleh Jabatan Persekutan, tetapi dengan terlalu taksubnya Pengerusi tersebut terhadap peralihan kuasa yang berlaku telah memalukan pegawai negeri tersebut dan kehadirannya tidak dihargai dan tidak dialukan. Apa salahnya kalau pegawai tersebut ada dalam mesyuarat. Kita sama-sama angkat sumpah menyimpan rahsia sebagai pegawai kerajaan. Kehadiran pegawai negeri dengan tulus ikhlas tersebut untuk membantu program-program dan menyelesaikan isu serta masalah yang dilaksanakan oleh jabatan-jabatan di negeri Kedah. Kecualilah kalau mesyuarat tersebut nak bincang bagaimana nak rampas balik kerajaan negeri Kedah yang kini diterajui oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. Mana boleh macam tu.. kita pegawai kerajaan ..apa-apa yang kita buat adalah untuk rakyat mendapat nikmatnya tanpa mengira apa fahaman politiknya...

Peristiwa ini tetap terakam dalam sejarah bagaimana egonya pegawai tinggi Persekutan yang bertugas di Kedah ini. Namun bukan semua pegawai kanan persekutuan bersikap sebegitu rupa. Ada yang sudah pandai menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Kerajaan negeri sendiri nmemahami akan dilema yang dihadapi oleh mereka, sebab itu tidak akan ada arahan-arahan yang diberikan yang boleh menjejaskan peluang kerjaya mereka, cuma mereka semua diminta agar memberikan kerjasam seperti biasa sebagaimana sepatutnya. Kalau perlu pandangan dan nasihat DO serta lain pegawai tinggi kerajaan negeri Kedah dalam melaksanakan sesuatu program dan projek dapatkannya. Jangan tinggalkan terus atau dipinggirkan terus. Sekiranya jabatan-jabatan negeri dipinggirkan ianya akan menambah merana lagi BN untuk mengambil balik negeri Kedah dalam pilihanraya yang akan datang. Ini kerana kakitangan kerajaan negeri yang masih menyokong BN lama-lama akan mula menjadi meluat melihat kelakuan dan tingkah laku jabatan persekutuan terhadap mereka...

Sebuah agensi terkenal dibawah kementerian Kewangan di Langkawi hampir ditamatkan jangkahayatnya disebabkan sikap tidak prihatinan pegawai tertingginya kepada kuasa kerajaan negeri. Namun bila pegawai tersebut ditukarkan boleh pula penggantinya itu bekerjasama dengan kerajaan negeri dan sekarang difahamkan program dan aktiviti agensi tersebut berjalan lancar dan mendapat kerjasama dari agensi peringkat daerah Langkawi dan kerajaan negeri sendiri. Inilah yang kita mahu berlaku dan hasilnya rakyat yang mendapat faedahnya bukannya sangat kepada kerajaan Pakatan Rakyat..Saya rasa masalah utamanya adalah masalah sikap setengah-setengah pegawai itu sendiri yang 'lebih sudu dari kuah'

Kerajaan Pakatan Rakyat saya rasa ada cara lain untuk memenangi hati rakyat...

Ok... saya mohon permisi dulu.. nanti dapat idea baru saya akan sambong balik... selamat malam... dengar dentingan jam 11 kali.. bye

00.00.00 11.00 mlm

Salam Sejahtera jumpa lagi diruangan sembang-sembang ni. Hampri-hampir tengahmalam ni agak panas sikit cuaca apatah lagi duduk dalam rumah batu yang keras segala-galanya. Teringin nak bubuh penghawa dingin seluruh rumah, tapi tak berapa nak berani lagi, kurang kemampuan lagi..anak-anak masih belajar lagi, banyak nak pakai duit.

Ok.. saya sambung balik cerita kita yang lalu dimana dan mengapa semakin lamaa semakin kurang sambutan dan sokongan anggota kakitangan kerajaan negeri Kedah terhadap BN selepas Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri Kedah.

Beberapa isu dan penyebab telah saya ulas dengan panjang lebar dalam catatan yang lepas. Tindakan drastik kerajaan persekutuan yang telah mengenepikan terus jabatan kerajaan negeri selepas sahaja kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan Negeri Kedah telah menyebabkan keadaan menjadi lebih parah lagi, bukan kepada kerajaan negeri tetapi kepada kerajaan Barisan Nasional itu sendiri.

Contoh yang jelas ialah tindakan menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan telah menyebabkan segala perancangan dan pelaksanaan kerajaan persekutuan telah dilaksanakan melalui JPP Negeri Kedah. Mereka telah menubuhkan struktur organisasi sendiri sehingga diperingkat akar umbi dimana JKKK yang ada sebelum pilihanaraya ke 12 telah dihidupkan kembali dan diberi elaun seperti biasa. Difahamkan banyak jawatan kanan telah diujudkan terutama untuk diisi oleh Pegawai Tadbir dan Diplomatik. Rupanya dengan perubahan kuasa kerajaan negeri telah memberi peluang kenaikan pangkat kepada pegawai-pegawai PTD yang semakin dahagakan kuasa dan pengaruh. Sebab itu rakyat Sabah marah kepada JPP Sabah kerana setelah Sabah diambil balik oleh kerajaan BN JPP Sabah ini masih terus dikekalkan dan mengenepikan terus jabatan-jabatan negeri. Bukannya kerana perlu ada jabatan itu tetapi adalah kerana nak letak kemana pegawai PTD kanan tersebut kalau JPP tersebut ditutup. Hanya baru-baru ini sahaja disedari, itupun setelah dikritik hebat oleh kerajaan negeri Sabah sendiri bahawa mereka tidak perlu kepada JPP. Kembalikan segala peranan dan tanggungjawab kepada agensi negeri seperti yang diamalkan sebelum ini.

Keujudan jabatan seperti itu akan memecahbelahkan lagi perpaduan rakyat dan mengurangkan sokongan terhdap kerajaan BN. Tidak bolehkan ditingkatkan peranan agensi persekutuan yang sedia ada di negeri Kedah ini seperti LADA, KEDA, RISDA, MARA, FELDA, FELCRA, MADA, JPS,JKR dan berpuluh-puluh jabatan lagi yang ada. Dengan sedikit pengubahan peranan dan fungsi saya rasa tidak ada masalah untuk melaksanakan projek-projek pembangunan sosial dan fizikal di negeri Kedah. Tidaklah perlu membazirkan wang ringgit dengan menaikkan taraf PTD , mengujudkan jabatan teknikal sendiri, mengujudkan pejabat-pejabat baru di daerah dan sebagainya. Semua ini merupakan pembaziran besar kepada wang rakyat. Lebih baik wang berjuta yang digunakan untuk tujuan tesebut disalurkana untuk kesejahteraan rakyat yang masih memerlukan bantuan dan perhatian kerajaan.

Dalam hal ini timbul tandatanya kenapa sibuk sangat untuk ujudkan agensi baru dinegeri pembangkang oleh JPA....saya rasa untuk kerjaya PTD sendiri. Apatah lagi di Kedah sendiri sudah lama PTD hendak masuk berkuasa di negeri Kedah tetapi sehingga kini Pegawai Tadbir Negeri masih lagi bertahan dengan naungan KDYMM Tuanku Sultan Kedah walaupun bermacam-macama tekanan diberikan kepada pentadbiran negeri Kedah ini.

Tak apalah, nak bulipun bulilah, nak tekanpun tekanlah tetapi Pegawai Tadbir Negeri Kedah tetap bersatu dalam mempertahankan hak dan kepentingan kerajaan negeri Kedah. Miskin negeripun tak apalah asalkan rakyatnya aman, makmur sihat sejahtera. Kakitangan kerajaan negeri Kedah buatlah kerja seadanya setakat apa yang ada dan setakat kemampuan yang ada. Tetapi harus dingat sebahagian besar kakitangan-kakitangan ini dulunya adalah penyokong kuat kerajaan BN, namun dengan pendekatan yang dilaksanakan oleh JPA, kementerian dan Jabatan Persekutuan ini telah menyebabkan lama-lama mereka semakin jauh dari BN. Apakah itu yang dimahukan oleh kerajaan pimpinan YAB Dato' Seri Najib Tun Razak...Saya akan cuba menyuarakan pandangan saya ini dalam blog YAB PM jika berkesempatan.


Ok... berhenti jari pun dah lengoh..elok rehat dulu, nanti saya sambong balik

00.00.00 Sik, 10.00 mlm

Hari ini saya tak balik ke AS, jadi duduk dan tidor kat ofis sajalah malam ni. habiskan apa-apa kerja yang banyak perlu difikirkan...Seronok duduk kat ofis sampai boleh tidor kat ofis..semua ada.

Rasa bosan keseorangan kat ofis tengahmalam ni baik ketok-ketok sikit keyboard ini sambong balik cerita yang belum sudah lagi.

Sayapun hairan juga tengok rakan-rakan seperjuangan tidak nampak sibok pun yang saya ni sampai tak menang tangan nak buat kerja...apakah saya tak pandai membahagikan masa atau saja buat-buat sibok tak taulah...Walaumacamanapun janji seronok buat kerja. Tekanan atau 'stress' tetap ada tapi pandai-pandailah kawal 'stress' agar tidak memudaratkan diri. stess kena ada juga sebagai satu faktor motivasi diri. Kalau tidak ada stress kita boleh jadi beku segala-galanya...orang kata hidup tidak ada cabaran.

Ok...kita sambong lagi kisah benar..

Sedar tidak sedar rupanya dasar dan polisi yang dilaksanakan dinegeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat di Kedah ini oleh Kerajaan BN Peringkat Persekutuan sedikit sebanyak telah semakin menjauhkan lagi kepercayaan dan sokongan rakyat kepada parti pemerentah peringkat nasional. Saya rasa perkara ini disedari oleh pihak tertinggi kerajaan, tetapi tidak tahulah kenapa masih lagi diteruskan juga dasar yang memang membuatkan rakyat semakin meluat dan pegawai kerajaan negeri kedah semakin rasa tersisih dari arus perdana diperingkat nasional...

Adakah boleh badan politik diambil kira dari segi pandangan dan pemikiran dalam melaksanakan sesuatu projek pembangunan sosial dan fizikalm sedangkan Pegawai Daerah sudah ada disesuatu daerah. Kalau diambil kira orang politik yang membuat keputusan maka hanya kelompok kecil sahaja yang akan mendapat manafaatnya sedangkan semua rakyat Malaysia berhak mendapat apa-apa yang orang lain patut dapat. Dalam kelompok kecil itupun sebenarnya berlaku juga perpecahan maka mengurangkan lagi pengaruh parti politik tertentu.

Inilah yang berlaku dalam pilihanraya yang lepas, bila beri orang politik buat keputusan maka hanya kelompok yang sokongnya sahaja yang dilulus apa-apa projek yang tidak sokong dipinggirkan walaupun dalam parti yang sama. Ini menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati rakyat dan akhirnya diserlahkan melalui keputusan pilihanraya yang diadakan. Jika pemerentah yang berfikiran singkat inilah pendekatan yang diambil dalam memuaskan hati para penyokongnya. Untuk jangkapanjang rasanya cara yang diamalkan ini sebenarnya memusnahkan masa depan parti itu sendiri dan kesannya kepada rakyat.

Kalau DO yang melaksanakan sudah tentu semua mendapat manfaatnya kerana sikap nutral kakitangan kerajaan tanpa mengambil kira apa fahaman politik, agama dan kaum. Melalui pendekatan ini semua rakyat dapat nikmat bersama. Terpulanglah kepada pemimpin parti politik mengambil kesempatan dalam melebarkan pengaruhnya dikalangan rakyat. Ini memerlukan skill sebagai YB, bukan semua orang boleh menjadi wakil rakyat. Kalau setakat nak guna harta kekayaan dan wang ringgit untuk cari pengaruh, rasanya sejarah telah membuktikan orang seperti itu jangkahayatnya tidak akan lama.. dia akan berkubur bersama harta bendanya.

Wah sudah terlalu banyak pula saya bercakap hal-hal yang memeningkan kepala ini...Entah apa yang ditulis tadi bukannya ketahuan sangat. Maklumlah malam sudah semakin larut, sudah semakin meruncing ke subuh, semakin gila jadinya otak kita. Pokoknya apa yang diperkatakan ini adalah pandangan yang gila-gila ini sahaja. Mungkin terpakai atau mungkin dibakulsampahkan...saya hanya terfikirkan apa sahaja yang terlintas diotak ini, lalu saya godam keyboard ini..gasaklah ini hanya pandangan biasa

Jumpa lagi selamat subuh...besok pagi saya nak keluar buat operasi banteras kuari haram dan lori haram...

14 June 2009

Tinggal Kenangan Projek ICU


Langkawi: 12 Sep. 2008

Saya baru selesai melawat dan membuat pemeriksaan Projek Penyelenggaraan Masjid Kg Yooi, Mk Bohor, Langkawi bernilai RM100,000.00. pada 15.09.2008. Inilah projek kerajaan Persekutuan yang rasanya terakhir saya dapat laksanakan. Disebabkan pertukaran kerajaan negeri yang memerentah dari Kerajaan Barisan Nasional kepada Kerajaan Pakatan Rakyat tidak akan ada lagi projek Kerajaan Persekutuan yang akan dilaksanakan oleh agensi kerajaan Negeri...Sedih sungguh.. hubungan rapat dan mesra selama ini dengan agensi kerajaan persekutuan terputus terus dengan jabatan berkaitan. Sepanjang 13 tahun bertugas di Pejabat Daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Bandar Baharu, Yan dan akhirnya di Pejabat Daerah Langkawi maka sudah beribu projek pembangunan fizikal dan insan yang bernilai puluhan juta ringgit telah saya rancang dan laksanakan tetapi pengakhirannya jadi begini. Apa nak di kato..itulah takdir namanya.. Selepas daripada ini kena fikir pula apa yang patut diberi tumpuan oleh Pejabat Daerah terutama di bahagian pembangunannya. Jika tidak akan berlaku pembaziran sumber manusia dan pembaziran kewangan kerajaan negeri.

asriredha
teratak kasih
alor setar

Manusia Tertinggi Di Dunia



Perarakan Hari Kebangsaan ke 50 Peringkat Daerah Langkawi yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Langkawi. Saya terlibat secara langsung dalam menguruskan program ini. Secara kebetulan manusia tertinggi didunia ini ada kat Langkawi dan terus saja tuan DO jemput beliau ke program ini. Saya mengambil kesempatan bergambar beramai-ramai dengan salah seorang manusia tertinggi didunia yang didatangkan khas dari Pakistan. Beliau ialah Ijaz Ahmed berumur 27 tahun dan ketinggiannya adalah 8 kaki 4 inci (256 cm) Berat pula 130 kg. According to a doctors, he is still growing. Nak tau lebih lanjut layari website ni: www.ibncc.com

asriredha
teratak kasih
alor setar

Bintang Jubli Emas 2009


Di Majlis Penyerahan Pingat Jubli Emas Pemerintahan KDYMM Tuanku Sultan Kedah oleh YB SUK pada 13.08.08 di Dewan Seri Negeri WDA. Pingat ini dianugerahkan kepada Pegawai-Pegawai yang telah bertungkus lumus merancang dan melaksanakan setiap program Jubli Emas tahun 2008 ini dengan jayanya.

asriredha
teratak kasih
alor setar
There was an error in this gadget