02 September 2016

Shanghai .... Kotararaya Termoden

Catatan: Mohd Asri Redha
Tarikh : 01 Ogos 2016


Assalaamualaikum WRT dan Selamat Malam saudara pembaca blog saya.  Sejak lama juga saya tidak menyentuh punat-punat computer ini untuk diketuk2 oleh jari kasar ini bagi membentok ayat yang boleh difahami dan dimengerti. Saya baru terasa .. memang lama benar… Mungkin kerana kesibukan kita merayakan Hari Raya Aidil Fitri yang disambut sampai sebulan membuatkan diri tidak sedar begitu cepat masa berlalu.. Keadaan kesihatan mata saya juga kurang ok sejak kebelakangan ini.. Tengah2 dok baca boleh hilang fokus mata dan huruf jadi kembang.... gawat juga ni.. Nak kena pi rujuk Pakar Mata selalu.. takut dia kelam terus.

Ok .. macam biasa la … bila saya berkesempatan melawat negara orang, saya suka sangat  menulis dan mencatatkan apa2 yang saya rasa patut tulis… saya menulis catatan perjalanan ini sekadar untuk rekod perjalanan saya dan juga boleh juga menjadi panduan rakan-rakan yang berminat untuk melawat negara berkenaan. Disamping itu dalam konteks lawatan yang diatur oleh jabatan sudah tentu apa ilmu pengetahuan dan pengajaran yang kita dapat dari lawatan tersebut.. Bukan sekadar lawatan syok2 jalan sana jalan sini.. balik hanyut begitu sahaja.. 


Untuk catatan santai hari ini saya  hendak bercerita berkenaan dengan Kotaraya Shanghai dan Shuzhou di Cina.  Ini adalah kali ketiga saya melawat negara Cina. Kali pertama saya melawat China ialah pada tahun 2005 iaitu ke Kota Raya Beijing Ibu negara China.. Kali kedua ialah semasa melawat Hong Kong dan Shenzhen pada tahun 2012. Jadi sejak itu tak pi jalan lagi ke China.

(Catatan Lawatan ke Shenzhen dan Hong Kong )

Sungai Huangpu adalah sungai utama di Shanghai.
Panjang juga sungai ini lebih kurang 114 km dan 
bersambung dengan Sungai Yangtze yg terkenal itu. 
Menariknya disepanjang tebing sungainya dipenuhi 
bangunan tinggi, moden dan juga tradisional.
Ada aktiviti Hungpu River Tours
Perjalanan ke Shanghai dari KLIA mengambil masa lebih kurang 6 jam. Pendaratan pesawat ialah di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong. Saya tak sempat bermesra dengan Airport ini, kerana keadaan kalut benar... masa balikpun begitu.. Masa agak suntuk untuk ronda-ronda tengok apa yang ada di airport tersebut.. tapi secara keseluruhannya saya lihat airport ini biasa sahaja...

Masalah utama bagi orang pelawat Muslim kat sini ialah nak sembahyang. Airport ini memang tidak menyediakan kemudahan tersebut. Nak ambil sembahyang pun kena tunggu tukang cuci tak ada.. Kalau ada memang dia tegor  kepelikan kita ambil wudhuk... Apatah lagi air yang meleleh membasahi kat lantai.. Bagi mereka memang pelik sebab kebanyakan mereka diShanghai jarang berhubungan dengan dunia orang Islam.. kerana  di Shanghai tidak ramai orang Islam disana.

Berbanding airport di Jepun seperti di Airport Kansai Jepun yang pernah saya sampai ada disediakan Surau yang lengkap dengan tempat berwudhu lagi, malahan surau disitu lebih baik lagi berbanding surau kat KLIA. Begitu juga kalau hendak makan kat Pudong International Airport ini memang susah.. Kalau lama transit kat airport kena sediakan makanan yang secukupnya.. Memang tidak  mesra langsung untuk keperluan orang Muslim...

Walau bagaimanapun kemasukan pelancong adalah lancar samada disekatan imigresen, sekatan keselamatan dan juga custom mereka. Tidaklah nampak sangat kecurigaan mereka pada pelancong Muslim ni.. Apa yang saya sarankan dapat dapat belajar dari situasi sebegini ialah belajar mengambil air sembahyang seminima mungkin penggunaan air dan sentiasa bawa botol air kemana-mana untuk dibasuh kaki dalam bilik air atau tandas. Jangan pula dok angkat kaki atas sink tu.. Pi mana-mana kena bawa  botol air, terlalu banyak gunanya.

Internet di Shanghai China

Negara China ini sebenarnya masih lagi ada rasa curiga terhadap pengaruh luar.. Sebab itu kebebasan Internet dikawal ketat oleh kerajaannya.. Walupun Internet dibenarkan di China tapi bukan semua aplikasi komputer dan smartphone yang beribu banyaknya itu dibenarkan di China..

Salah satu aplikasi  popular yg diharamkan di China ialah Facebook.. Mati akai juga dok kat  Shanghai ni ... 4 hari tak boleh berfb... dok biasa update fb setiap hari... tiba2 x blh ... so terputus lah hubungan selama 4 hari dgn rakan2 FB saya. . Whatsapps dibolehkan pula.... Talian Internet mereka kalu pakai WiFi hotel memang terlalu amat perlahan...

Memang kerajaan China tidak begitu bersedia utk memberikan kebebasan sepenohnya pada rakyat nya dr segi kebebasan memperolehi maklumat kerana dibimbangi pengaruh2 luar tertentu yg mungkin dianggap negative... Propaganda yang sentiasa ditusuk-tusuk melalui internet  kalau ia dilaksanakan berterusan tanpa henti-henti lama2 orang mempercayai seolah olah ia hakikat sebenar. Ini kerana barat mengawal  hampir semua saluran maklumat antara bangsa. Ini yang membimbangkan kerajaan China sebenarnya. Sebenarnya negara kitapun kena fikir dan berbuat sesuatu menangani isu penyebaran maklumat tidak betul dan tidak tepat dimedia-media moden sekarang ini.

Bila balik baru saya tahu China guna 'Bing' untuk menyelusuri internetnya bukan google. Sebab itu saya tak dapat melayari internet dengan sempurna.

Perancangan Bandar Shanghai.

Sekitar Shanghai Urban Planning Exhibition Center..
Bertemakan "City, Citizens, Environment And Dev"
Memaparkan Shanghai dalam Sejarah, Terkini dan
Shanghai di Masa Hadapan. Yuran Masuk RMB30
Kota Shanghai yang berkeluasan 2450 batu persegi dengan mempunyai 17 daerah.   Luas kawasannya. Kalau duduk sebulan di sini, rasanya masih tidak dapat melawat ke segala cerok rantau Shanghai ini.  700 tahun dahulu pekan ini hanyalah sebuah pekan nelayan Tapi sekarang terlalu amat berbeda pembangunannya. Bandaraya ini dipenuhi dengan bangunan-bangunan tinggi yang rekaannya begitu menarik yang mengabungkan ciri-ciri moden terkini dan tempatan.. Saya amat kagum melihat pembagunan yang begitu pesat berlaku, walaupun ianya asal sebuah negara yang tertutup dengan dunia luar.

Sebelum kita melawat  Shanghai saya rasa  elok kita pergi melawat  dulu Shanghai Urban Planning Exhibition Center yang terletak di Renmin  Avenue , Nanjing Road.  Dipusat ini kita dapat melihat sejarah pembangunan Kota Raya Shanghai dari sebuah pekan nelayan yang kecil sahaja sehingga menjadi Kota Metropolis yang amat moden di China ini. Banyak aktiviti boleh dibuat disini. Antaranya ialah menonton Video Presentation berkenaan sejarah pembangunan Kota Shanghai mengikut tahun ke tahun dengan maklumat gambar-gambar yang ada. Selepas itu pelawat akan dibawa melawat  Circular-Screen Demonstration Hall untuk menonton Virtual Film of A Journey Of Wonder in Shanghai. Pengalaman ini tidak seharusnya dilepaskan untuk dinikmati pelawat. Suatu yang amat mengkagumkan saya ialah apabila melawat replika model sebenar seluruh kota metropolis Shanghai. Semua model bangunan-bangunan yang ada di Kota Shanghai telah disusun tepat mengikut nisbah dalam satu kawasan seluas 600 meter persegi pada nisbah 1:500. Cukup menakjubkan. Kita melawat ke sini seolah kita duduk diatas udara dan melihat semua bangunan-bangunan  dan pembangunan fizikal yang ada di Shanghai...  Saya pernah melihat model seperti ini semasa melawat Singapore tempoh hari, tapi yang di Shanghai ini lebih besar dan canggih lagi.

Penggunaan model-model ini sebenarnya memudahkan perancangan yang dibuat oleh pemerentahnya dan rakyat. Bagi pihak pemaju swasta boleh merancang projek-projek mereka dengan lebih berkesan dan tepat.  Sebab itu saya melihat keadaan persekitaran Kota Metropolis Shanghai ini tidak begitu berserabut sangat kerana perancangan teliti yang telah dibuat sejak tahun 1930-an lagi. Banyak lagi aktiviti boleh dibuat disini yang kalau nak cerita panjang jadinya pula...  Mai melawat tengok.. pasti anda teruja.. Sebab itu tempat ini sudah dikunjungi lebih 7 juta orang sejak pembukaannya pada tahun 2008..

Saya memang berminat dan amat tertarik akan susun atur dan tataletak apa sahaja dalam wilayah Shanghai ini. Memang nampak agak teratur walaupun mempunyai penduduk melebihi 25 juta orang. Perancangan yang teratur yang dibuat awal oleh pihak berkuasa perancang Kota Shanghai ini telah menyebabkan suasana persekitaran Kota Shanghai ini agak selesa dan tidak nampak sangat kekalutan, walaupun sekali sekala lalulintasnya agak sesak dan pergerakan kenderaan agak lambat. Tapi pada keseluruhannya memang baik. Jalan-jalan utamanya memang luas dan ada mempunyai  4 lorong dikebanyakan tempat. Rakyatnya sebahagian besarnya berpendapatan sederhana sahaja dan lebih suka menggunakan pengangkutan awam yang agak efisien disini disamping penggunaan motor elektrik atau basikal elektrik. Memang banyak kenderaan seperti itu dan  kebanyakan tempat dikotaraya ini disediakan laluan khas untuk kenderaan bermotor ini. Jadi ianya tidak menganggui sangat jalan utama untuk kenderaan beroda 4 keatas.

Saya juga pernah mencuba penggunan teksi bandarnya ini dan memang berbaloi kalau nak ronda-ronda dengan menggunakan teksi kota kerana harganya amat berpatutan dan diluar jangkaan saya dari segi harga yang kena dibayar kerana mereka menggunakan meter sepenuhnya. Mungkin masalah sedikit dari segi penggunaan bahasa pertuturan.. tapi itu bukan masalah besar sangat.

Tataletak bangunan-bangunan tingginya juga begitu tersusun terutama di tepi sungai-sungai utama yang melintasi atau melalui Kota Metropolis ini. Naik geram tengok sungainya yang luas itu tapi airnya jernih. Walaupun saya rasa beratus-ratus bangunan2 tinggi terletak disepanjang kedua-dua tebing sungai yang ada. Sampah pun tidak ada dalam sungai tersebut. Agaknya macam mana mereka boleh buat seperti itu. Sungai kita yang tidak banyakpun bangunan tepi sungai tapi sampah penoh malahan sungai pula dijadikan tempat buang segala sampah sarap dan tebing sungai buat tempat bakar sampah bagi setengah penghuni yang duduk ditepi sungai. Begitulah adanya. Bila saya ikuti 'Huangpu River Cruise' di Sungai Huangpu membuktikan kebenaran kata-kata saya. Begitu juga bila saya melihat 360 * dari puncak tertinggi Tower Shanghai saya dapat melihat dengan jelas sungai-sungai yang ada dikota Shanghai ini.. bersih dan ada aktiviti sungai yang menarik pelancong-pelancong menikmatinya.

Shanghai menggunakan dan mengeksploitasikan sepenuhnya segala sungai yang ada di kota ini.  Kadang-kadang saya terfikir juga tidak bolehkah kita buat seperti itu di Malaysia ini.. Sebagai contoh sewaktu saya mengikuti pelayaran bot waktu malam, suasana malam amat indah sekali. Bukan ada perayaan atau aktiviti apa-apapun.. tetapi ditebing-tebing sungai yang dijaga rapi dipenuhi ribuan orang yang duduk santai-santai menikmati suasana malam ditepi sungai tersebut. Pemerentah hanya menggunakan atau memainkan  unsur-unsur pelampuan yang berwarna warni sahaja sepanjang tebing sungai. Semua bangunan-bangunan yang ada disekitar sungai dipasang lampu yang segala macam jenisnya. Ada yang seluruh bangunan tinggi itu dijadikan seperti screen raksaksa memaparkan jenama bangunan itu dan juga mengiklankan apa-apa produk yang sesuai... Besar sungguh.. Kita kat KL ada juga macam kompleks UMNO di KL itu , tapi tidak dinamik berbanding dengan di Kota Shanghai ini.

Saya tak pasti adakah ini atas arahan Pihak Berkuasa Tempatannya atau pemilik bangunan secara sukarela memasang screen raksasa itu atau memasang lampu yang pelbagai jenis dan canggih-canggih belaka.  Tapi saya fikir China tidak ada masalah untuk mengarahkan pemilik bangunan buat itu ini, memandangkan sebagai negara komunis , undang-undang dan peraturan memang ketat. Senang-senang sahaja mereka memilik negarakan aset2  yang ada kalau ada berlaku pelanggaran syarat dan undang-undang.

Saya rasa kalau duduk kat tepi sungai Huangpu yang dinamakan 'The Bund Riverfront' itu boleh terleka beberapa jam melihat keindahan cahaya warna dan pelbagai warna diwaktu malam itu..  Hanya itu sahajapun  sudah menarik jutaan pelancong datang... disamping melihat 52 buah bangunan2 besar dan tinggi yang mempunyai bentok2 yang moden dan klasik. Bukan ada aktiviti lain pun. Tapi orang ramai sepanjang tebing itu duduk santai-santai menikmati keindahan malam kat situ. Tapi itu lah kalau nak buat kat Kedah ka.. kena bersungguh-sungguh dan kesepaduan semua pemilik bangunan untuk bubuh apa-apa lampu yang sesuai.. Kalau buat sikit-sikit tak jadi..  Sikit-sikit pun yang kita buat pelampuan biasa sahaja depan Wisma Negeri/Masjid Zahir itu pun dah jadi tarikan orang untuk datang bersantai-santai... apatah lagi kalau kita pasang lampu-lampu pelbagai bentok dan konsep dan warna warni lagi secara banyak dan luas kawasannya. Memang kos penyelenggaraannya amat tinggi, sedangkan hasil pada PBT tak ada.. . Rupanya orang memang suka kalau ada pelampuan menarik dan warna warni.. sebab itu disitu ada orang berkumpul.

Fakta :   Shanghai Tower, Ketinggian 632 meter.
Tempat meninjau yang tertinggi didunia. Ruang
tinjaunya   boleh  keliling 360*.  Bangunan  ini 
tertinggi  di Shanghai &  ke 2  tertinggi didunia
Syurga Membeli Belah..

Shopping Time: Shanghai Science and Tech Museum Station
Shopping Center .. atau AP Plaza menjadi tempat yang amat
menarik untuk membeli belah barang-barang China dengan
harga yang amat berpatutan kalau kena gayanya.
Selain melawat untuk menikmati keindahan dan melihat keunikan budaya negara-negara luar, sudah tentu pelawat yang datang ke China teruja untuk melihat apa barangan unik yang ada di China khususnya di Shanghai ini.. Kalau dengar berita dari media tu katanya harga boleh tahan murahnya.. betul ka... Ini yang membuat peserta rombongan teruja untuk meninjau sendiri akan tempat-tempat membeli belah yang bersesuaian yang bukan berkelas tinggi, tapi cukuplah yang sederhana..

Hanya 2 tempat shopping saja yang rombongan kami berkesempatan kunjungi..  Masa tidak mengizinkan  untuk meninjau lain-lain tempat.. kerana khabarnya ada lagi tempat-tempat shopping yang menarik.. Tapi saya rasa kemungkinan barangan yang dijual itu lebih kurang sama sahaja.. Sudah tentu pakaian segala macam baik dari kasut, tudung, kain ela, baju, seluar, tukang jahit segera baju jacket atau lounge suit , barang elektronik, beg berjenama, permainan kanak-kanak, aksesori komputer, telefon, jade, cenderamata segala macam.

Tempat shoppping yang mula rombongan saya pergi ialah di Chenghuangmiao Shanghai .... Tapi disini nampak bangunan-bangunan klasik kuno China zaman dulu kala.. Memang ramai pengunjung.. Tapi saya rasa tidak begitu banyak barang-barang yang menarik minat untuk dibeli dan saya hanya sekadar ronda-ronda melihat bangunan-bangunan klasik mereka disitu.
Chenghuangmiao Bazaar .. ronda-ronda saja.. Tak berapa
menarik untuk berbelanja kat sini... Memang nampak klasik
bangunan-bangunan kat sini.. mood nak beli belah tak 
berapa nak karan.

Satu lagi tempat yang menarik dikunjungi ialah di Shanghai Asia Pacific Plaza (AP Plaza) ....  Di sini baru puas kalau nak berbelanja. Memang banyak sungguh kedai-kedai rasanya ratusan kedai juga ada disitu dibawah satu bumbung dan ianya terletak dibawah tanah.. Di dalam bangunan ini juga ada station keretapi. Amat mudah untuk datang ke sini dengan menggunakan pengangkutan keretapi.

Rasanya kalau setakat 3 jam ronda kat sini.. tak habis lawat semua kedai yang ada... Tapi kebanyakan barang dikebanyakan kedai lebih kurang sama sahaja.  Depa tak bubuh tanda harga. Kalau tanya harga jurujual letak harga gila-gila juga..  tapi masih murah berbanding di Malaysia.. sebab itu ada anggota yang terkena kerana dia rasa dah cukup puas hati dengan harga dan beli...  Masa atas bas dah diperingatkan agar minta tawar serapat mungkin, kadang2 sampai 80 peratus..  Jadi jangan hairan kalau setiap anggota rombongan yang beli barang yang agak sama tapi harganya ada yang berbeda jauh kerana ikut kebijaksanaan kita tawar menawar.. Tapi saya lihat beg tangan , dan pakaian mereka memang berkualiti juga dan ada juga yang jenama2 terkenal tapi tiruan tapi memang tidak nampak langsung perbedaaan yang asli atau tiruan .. Kalau nak beli memang berbaloi.. Kalau barang-barang elektronik atau elektrik tu saya tak berapa yakin akan ketahanannya...  elaklah dari beli kalau boleh.

Saya terjumpa pendrive berkapasiti 1 Terabait dan ada 2 Terabait.. Tinggi . Sebesar ibujari saja boleh simpan data sebanyak itu. Saya cuba test dikomputer.. memang betul .. Tapi rasanya kalau nak simpan data2 penting jangan lah pakai pendrive ini,, takut dia mudah rosak dan rosak segala data dan dokumen yang ada...  Bila balik Malaysia rasa menyesal pula tak beli banyak-banyak beberapa benda yang menarik dan berguna seperti pakaian, kasut, aksesori komputer/telefon dan buat lounge suit atau jacket yang boleh siap sehari tu... 

Perkembangan Agama Islam di Shanghai

Sebenarnya negara China mempunyai penduduk Islam yang begitu ramai. Tetapi di Shanghai dianggarkan hanya ada lebih kurang 70,000 penduduk  berugama Islam berbanding dengan penduduk Shanghai yang melebihi 25 juta orang. Sebab itu saya difahamkan ada 7 masjid sahaja di Shanghai. Rombongan kami sempat mengunjungi 2 buah Masjid di Kota Shanghai ini iaitu Masjid Shanghai Xiaotaoyuan Mosque dan Shanghai Xiaotaoyuan Female Mosque..

Shanghai Xiaotaoyuan Mosque For Women dan 
Shanghai Xiaotaoyuan Mosque For Men.

 Kedua-dua masjid letak berdekatan hanya dipisahkan oleh  bangunan kepunyaan  Pihak Berkuasa Bandaraya Shanghai.. Unik juga kerana ada masjid yang khusus untuk wanita... Saya tak pasti pula ada tak sembahyang Jumaat khas kat Masjid Wanita ini.

Untuk mendapatkan makanan halal bukanlah masalah sangat , tapi kenalah pandai cari di internet.. Namun kalau kita lihat restoran mereka kebanyakannya sama sahaja samada restoran halal atau tidak halal. Kadang-kadang dalam restoren yang dikatakan halal itupun ada dijual arak. Ini yang membuatkan kita rasa was-was juga. Lagi pun jenis makanan yang dihidangkan lebih kurang sama sahaja.. Saya tidak begitu gemar dengan cara masakan orang China disini. Hari pertama makan boleh terima lagi , tapi kalau selalu dihidangkan makanan sebegitu, tak berapa boleh pi dah.. Orang China suka gunakan kuah  yang dimasukkan sama tepong jagong dan perencah yang ada bawang putih.  ia agak berlendir sikit dan kurang pedas. Kalau ada serunding gaul dengan nasipun rasa lebih selera lagi... Ada juga restoren yang menampakkan benar-benar Islamik dimana pekerjanya pun bagi salam bila kita masuk, dan pelayan wanitanya bertudung kepala sepenuhnya ada ada juga lelaki yang pakai lebai.. Restoren macam ini rasa lebih yakin lagi dan memang tidak ada minuman keras dihidangkan malahan disediakan surau lagi untuk pengunjungnya bersembahyang.

Pengangkutan Awam Di Kota Shanghai

Berpeluang menaiki keretapi terlaju didunia mencapai 
kelajuan 430 km sejam.. Memang laju.. Teknologi terkini 
membolehkan keretapi ini bergerak laju dgn teknologi 
elektromagnet... Jadi sapa kata barang keluaran 
China tak berkualiti.. Negara barat pun tidak boleh 
menandingi lagi teknologi pembinaan keretapi.. 
Saya rasa Kerajaan Malaysia tidak silap memilih syarikat dari China untuk bekerjasama dalam melaksanakan Keretapi Berkelajuan Tinggi  (HSR).. Walaupun saya hanya melawat Shanghai, tapi pengalaman menaiki 'Shanghai Maglev Train' amat mengujakan saya dan peserta rombongan. Saya biasa naik  Bullet Train di Jepun dan juga Keretapi Laju dari Paris ke London tapi rasanya Shanghai Maglev Train ini memang hebat walaupun jaraknya tak jauh mana, mungkin faktor kos yang terlalu tinggi. Keretapi ini menggunakan landasan elektromagnetik dan direka oleh jurutera dari German, tapi di German sendiri tidak membina keretapi seperti ini. Kelajuannya memang tinggi sungguh.. dan senyap. Semasa rombongan kami naik keretapi itu kelajuan maksimun yang dicatatkan ialah 431 km/j. Saya difahamkan ia boleh sampai kepada 500 km/j.. Bayangkanlah kelajuan yang sebegitu rupa.. memang laju.. Purata kelajuan keretapi laju biasanya purata maksima setakat 350 km/j.  China Railway mempunyai 3,400 keretapi biasa dan 2700 unit Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR).. tapi Shanghai Maglev Train ini adalah special sikit.. ia tersendiri dalam kategorinya sebab teknologi nya lain sikit. Dengan pengalaman yang begitu lama dan bilangan penggunaan keretapi yang paling banyak didunia saya rasa dari segi teknologi pembinaan keretapi  mereka memang telah terbukti.. Untuk keretapi laju HSR KL-Singapura untuk jarak sejauh 356 km hanya mengambil masa selama 90 minit sahaja.. Sama2 kita tunggu realitinya..

Menggunakan kenderaan awam adalah berbaloi di Shanghai terutama menggunakan teksi kotanya. Harganya berpatutan dan pada pandangan saya pemandu teksi disini tidak mengambil kesempatan pada pelancong.. Setakat yang saya naik sekali begitu lah.. tak taulah kalau ada pelancong yang menghadapi pengalaman yang buruk menggunakan pengangkutan awam di Shanghai. Bas Pelancong mereka adalah terbaik dan pemandu mereka memang berdisiplin. Itu tidak dinafikan bila melihat kepada bas pelancong yang kami naiki itu.

Kawasan Industri

Semasa kami berada di Kota Shuzhou dalam perjalanan ke Kota Shanghai, saya telah mengaturkan untuk membuat satu lawatan ke salah satu kilang berteknologi tinggi  di Suzhou Industrial Park dan Nama kilang itu 'Shenzhen Inovance Technology Co. Ltd'. Kilang ini terletak di kawasan Suzhou Industrial Park. Kawasan industri ini dibuka pada tahun 1994 dan sekarang merupakan kawasana industri yang menduduki tempat utama dikalangan taman-taman industri di China ini. Rombongan kami juga melawat lalu ke kawasan Caohejing Hi-Tech Park..

 Alhamdulillah walaupun operasi kilang tersebut cuti pada hari tersebut , tapi pihak pengurusannya sanggup menunggu kami dan membawa melihat produk-produk yang dikeluarkan serta memberikan taklimat. Kilang ini memang berteknologi tinggi dan mengeluarkan peralatan elektronik yang berkualiti tinggi terutama alat controller eletronik yang boleh digunakan untuk pelbagai keperluan seperti lift, eskalator, kenderaan, komputer, dan segala macam peralatan elektronik. Sememangnya kalau dilihat kepada jumlah pengeluaran dan pengikhtirafan yang diterima oleh kilang ini , memang membuktikan produk keluaran China ini memang berkualiti tinggi. Lebih kurang 213 produk ciptaannya telah dipatenkan oleh Syarikat ini. Memang hebat syarikat ini.

Sayapun rasa hairan juga bagaimana bila berada di Malaysia selalu orang membandingkan kalau nak beli apa -apa mesti ditanya pilihan hendak barang China atau barang Taiwan atau sebagainya, kerana dari China katanya harganya murah sikit. Sampai begitu sekali ditanamkan anggapan tersebut oleh pesaing-pesaing dalam dunia perniagaan. Tengok saja teknologi keretapinya seperti yang saya ceritakan sebelum ini sudah membuktikan kehebatan teknologi mereka, kita masih ramai yang was-was kalau sebut produk dari China ini.

Begitu juga kawasan industri yang berteknologi tingginya iatu Coahejing Hi-Tech Park ..  Tataletak kilang-kilang disini adalah teratur dan mempunyai jalan-jalan yang luas serta landskap pokok hijau yang banyak.. begitu juga penyediaan infrastruktur fizikalnya agak baik. Saya tidak pasti samada kilang-kilang  disitu dipunyai ramai pelabor luar negara atau pelabur tempatan... Sebenarnya banyak kawasan industri teknologi tinggi di sekitar Shanghai ini.. tapi rombongan hanya sekadar lalu sahaja.


Kehijauan Landskap dan Kebersihan 


Salah satu misi utama lawatan PBT-TPHTK ialah untuk melihat bagaimana suasana landskap dan kehijauan di Kota Shanghai ini. Bermula dari lawatan-lawatan yang diator dan melihat disepanjang jalan raya dan seterusnya melihat Bandar Shanghai keseluruhannya dari bangunan tertinggi di Shanghai iaitu Shanghai Tower... saya kagum melihat tataletak fizikal yang ada di Kota Shanghai... Nampak begitu teratur dan terancang.. Bukan senang nak bina sebuah bandar yang mempunyai penduduk seramai lebih 24 juta orang. Saya boleh melihat walaupun kota ini nampak macam kota batu bata dipenuhi bangunan tinggi tetapi saya lihat PBT dsini tidak mengabaikan penanaman pokok-pokok hijau yang saya rasa banyak juga ditanam terutama disepanjang jalan-jalan dan disekeliling bangunan-bangunan yang ada di Kota Shanghai ini.

Begitu juga ditebing-tebing sungainya terjaga cantik dengan penanaman pokok-pokok besar. Saya rasa ini satu perkara yang menarik juga untuk ditengok oleh PBT.  Ia agak kurang tanam pokok-pokok yang berbunga dan pokok renek .. Kalau ada pun ditempat-tempat tumpuan tapi secara kecil sahaja... Tak semestinya bila tanam pokok renek dan pokok bunga berwarna warni sahaja nampak cantik, malahan tanam pokok-pokok besar juga nampak menarik jika ditanam secara tersusun dan banyak.. Di Shanghai ini saya lihat jenis pokok besar yang ditanam itu nampak macam sama jenis sahaja.  Mungkin pokok itu mudah penjagaannya dan akarnya  serta fizikalnya tidak memberi kemudaratan kepada persekitaran... Tapi sekurang-kurangnya banyak menanam pokok besar seperti itu boleh memberi ketenangan dan kenyamanan dikota besar itu disamping membekalkan oksigen yang amat diperlukan.

Sepanjang lawatan saya dan rombongan rasanya saya tidak nampak kelibat asap tebal keluar dari corong-corong asap kilang yang beribu banyaknya di Shanghai ini. Saya rasa ini mungkin faktor undang-undang yang ketat berkaitan hal alam sekitar ini. Begitu juga jalan-jalan raya nya nampak elok sahaja tak nampak sangat kerosakan sana sini.. Kemungkinan sistem penyelenggaraan infrastruktur mereka yang canggih dan berkesan serta cepat menangani sebarang isu dan aduan awam.. Itu anggapan saya sahaja dalam tempoh pemerhatian yang terhad itu..

Kebersihan di Kota Shanghai ini memang saya akui ada kebenarannya. rasanya sepanjang laluan yang rombongan kami lalui memang tidak nampak sangat masalah kekotoran bandar.. Mungkin kalau masuk kedalam atau pendalaman sikit, tak pasti lah macam mana.. Biasala kan.. pelancong-pelancong manapun kalau datang takkan pemandu pelancongnya nak tunjukkan tempat-tempat yang tak elok.. Sayapun tak jumpa juga setinggan-setinggan disini.. Kat mana mereka tinggal ya.. terutama bagi yang kurang kemampuan untuk duduk diflat-flat yang beribu banyaknya di Kota Shanghai ini.

Kerja penyelenggaraan kebersihan di Kota Shanghai ini berjalan siang dan malam dan banyak juga menggunakan tenaga manusia. Sesuatu yang menarik yang boleh dijadikan contoh ialah kebersihan sungai-sungai yang  melalui kota Shanghai ini. Tidak kelihatan sampah-sampah dalam sungai-sungai besar atau kecil. Sungai dijadikan pengangkutan yang utama juga di sini dan sungai juga menjadi tempat tarikan pelancong seperti yang saya ceritakan sebelum ini.  Hebat ya.. bagaimana mereka boleh menjaga sungai mereka dengan begitu elok sekali. Bayangkan beribu bangunan tinggi ada disekitar dan sungai yang ada tapi kemana dibuangnya air-air kumbahan dari bangunan2 flat yang dipenuhi oleh jutaan manusia itu.

Saya rasa faktor penguatkuasaan undang2 amat memainkan peranan penting..  Negara komunis memang rakyatnya tidak berani berbuat sesuatu yang membelakangkan undang-undang. akibatnya disebabkan undang-undang mereka yang ketat dan  hukuman yang berat. Malahan saya pernah dengar pegawai kerajaan nya yang rasuah dikenakan hukuman mati..

Di Malaysia perkara ini agak bermasalah sedikit.  Kesalahan-kesalahan yang dianggap kecil selalu dilanggar oleh rakyat sewenangnya-wenangnya seperti kesalahan undang-undang lalu lintas, kesalahan dibawah undang-undang PBT  dan seumpama itu.. malahan kalau pihak berkuasa hendak menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang itu, selalu ada halangan dari pelbagai pihak. Bagi sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berpelembagaan, rakyat adalah pengundi yang menentukan kerajaan yang memerentah. Masalah nak ambil hati rakyat itu yang membuat pelanggaran  undang2 berleluasa.. kerana rakyat tahu akan ada pihak yang akan membela mereka.. selalu akan ada saranan.. 'rakyat hendaklah diberi kesedaran dan kefahaman dulu'..  sebenarnya sudah berbuih kempen dibuat untuk menyedarkan betapa perlu dan pentingnya sesuatu  peraturan itu dibuat.. tapi rakyat  buat tak kisah.. dan ambil kesempatan..  Sebab itu banyak program untuk menjadi sebuah negara maju tidak mencapai sepenuhnya. Kerana sebahagian besar kejayaan sesuatu program itu banyak bergantung kepada perubahan sikap dan peribadi rakyat.  Banyak yang saya boleh cerita berkenaan isu ini berdasarkan pengalaman-pengalaman yang saya hadapi sepanjang lebih 30 tahun saya bertugas. Tak apalah nanti saya cerita dalam forum lain ..


https://www.facebook.com/asredha/media_set?set=a.1420667814616169.1073741907.100000188912921&type=3

Pelancongan di Shanghai, China

Sejak China membuka pintu sempadannya kepada dunia luar, tidak dapat dinafikan industry pelancongannya berkembang dengan begitu pesat. Terlalu banyak produk-produk pelancongannya di Negara China yang amat luas itu samada alam semulajadinya, tinggalan sejarahnya yang hebat-hebat belaka dan juga budayanya yang amat pelbagai. Kota Shanghai lebih merupakan sebuah kota moden berbanding dengan saingannya Kota Beijing yang lebih merupakan pusat pentadbiran Negara China.

Dikota Shanghai sahaja SUNGAI sudah cukup untuk menarik ramai pelancong datang mengunjung apatah lagi kerajaanya mengekploitasi sepenuhnya sumber itu dengan program boating, pelampuan yang hebat dan canggih dan aktiviti-aktiviti sungai. Saya amat teruja dan berminat untuk bersantai-santai ditepi sungai nya itu dan kalau ada duit lebih boleh bersiar-siar dengan feri pelancongannya yang begitu selesa.

Begitu juga BANGUNAN2  tingginya yang cantik,  indah, moden dan futuristic dijadikan tempat yang menarik untuk dikunjungi  dan dilawati hingga ke puncak. Saya hanya sempat melawat ke Shanghai Tower sahaja sambil dapat menikmati pemandangan seluruh kota Shanghai dari puncak menara itu. Tapi untuk naik ke atas kena bayar banyak juga.

berperahu tongkang menyusuri sungai, pemandangan indah ditebing
sungai dengan bangunan yang bercahaya, demonstrasi menyediakan
teh yang betul, mencuba kekuatan sutera Cina dan terapi tapak kaki
dan jual ubat atau produk kesihatan.
Satu perkara yang saya paling tidak suka ialah pelancong dipaksa untuk melawat industry-industry tempatan yang dikatakan kepunyaan kerajaan mereka. Di Beijing pun sama bila saya mengikuti lawatan sambil belajar ke sana 10 tahun yang lalu. Di Kota Shanghai inipun kena juga. Antara tempat yang mesti dibawa melawat oleh pemandu pelancong mereka ialah ke kilang teh, ubat herba dan juga tempat industri kain sutera serta batu jade. Saya tidak pasti samaada ini ada arahan Kerajaan mereka atau memang operator2 pelancongan mereka sudah berpakat bahawa pelancong yang datang ke China mesti dibawa ke tempat2 seperti ini..  Memang pada mulanya tak mau beli apa-apa, tapi akhirnya terpengaruh juga dan beli juga walaupun harganya boleh tahan juga mahalnya..  Saya pun terbeli juga kain selimut sutera di kilang Suzhou Kaidi Silk Co. Ltd

Itulah pengaruh promosi dan iklan serta kebijaksanaan jurujualnya yang pandai mengeksploitasi akan masalah dan isu yang dihadapi oleh pengunjung. Tapi melalui lawatan ke kilang2 yang dipaksakana melawat ini sebenarnya telah mengembangkan lagi industri tempatan  tersebut. Sebab itu kalau sesiapa yang hendak pergi kali ke kedua dan menggunakan khidmat travel agency disana, rasanya pasti akan pergi ke tempat yang sama juga.. jadi tentunya membosankan.. Kalau nak pergi kali kedua elok pergi secara kecilan tanpa guna khidmat travel agensi tapi boleh guna orang tempatan yang boleh guide kita disana.

Oklah saya rasa jadi panjang benar pula cerita saya ini.. Ya laa tulis santai-santai.. Apa sahaja yang ter 'lalu' difikiran , terus ditaip sahaja.. Setakat sekarang, ini itu sahaja yang ter'lalu' , tak taulah nanti kalau ada idea lalu lagi  difikiran, saya akan tambah lagi cerita ini. Jadi cerita saya ini tidak ada kesudahan lagi.. belum bubuh noktahnya lagi .. Ada idea mai saya akan tambah lagi dimana perlu..

Cumanya lawatan ini saya sebagai kepala rombongan , saya telah tetapkan satu peraturan iaitu setiap peserta rombongan dikehendaki menyediakan laporan tersendiri mengenai lawatan ini..  bentuk dan cara laporan terpulang kepada kreativiti dan inovasi masing-masing.. Hasilnya memang menarik, saya dapat membaca laporan-laporan anak-anak buah dan ahli-ahli majlis sendiri tentang lawatan ini dari sudut pandangan masing-masing. Dalam hal ini saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi kerjasama. Dengan adanya laporan ini, maka bolehlah ianya dijadikan sebagai panduan dan amalan dimana yang bersesuaian yang boleh dimanfaatkan untuk kawasan PBT TPHTK ini.
Antara laporan lawatan ke Shanghai
yang disediakan oleh anak buah
dan Ahli JK Tertinggi  PBTTPHTK 
anak buah yg saya hantar pi lawatan
ke Vietnam pun kena buat report
juga..

pohon permisi..

Sampai ketemu lagi...


Gambar2 lawatan klik sahaja kat bawah ni... akan masuk FB saya..

GAMBAR LAWATAN KE SHANGHAI, CHINA

asriredha
teratak kasih alor setar

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melayari blog saya. Komen anda pasti memberikan penambahbaikan kepada ilmu pengetahuan saya dan juga kepada paparan blog saya.

There was an error in this gadget