15 November 2013

8th Mayor Silk Road Forum Yeosu 2013 Korea Selatan.... Alor Setar Terletak Di Laluan Sutera


Incheon International Airport, Republic Of South Korea
Catatan: Mod Asri Redha
Tarikh: 25 Oktober 2013


En Izham.. anak buah yang 
turut bersama saya dalam
forum tersebut.. 
Salam sejahtera buat saudara pembaca blog saya. Hari ini banyak bahan untuk menulis untuk blog saya ini. Sewaktu saya menulis blog ini saya berada di Incheon International Airport,  Korea Selatan. Saya ada masa lebih kurang 5 jam kat airport ini sementara menunggu penerbangan seterusnya ke Istanbul , Turki untuk satu lagi urusan rasmi yang belum lagi beres. Jadi ada masa banyak , setelah 'cemuih' ronda-ronda kat dalam airport yang besar ini, elok buka notebook saya ni tulis apa yang patut sepanjang saya berada di Korea Selatan dari 21 Oktober 2013 hingga 25 Oktober 2013.

Sebenarnya saya sudah 6 hari berada di Korea Selatan, khususnya Kota Yeosu di selatan Korea Selatan. Kotaraya Yeosu ini mempunyai penduduk lebih kurang 300,000 orang sahaja dan mempunyai 365 pulau. Kota Yeosu ini sebenarnya jarang menjadi tempat lawatan pelancong Malaysia, mungkin kerana terletak jauh di selatan Korea.. Namun kota ini sebenarnya lebih dikenali sebagai pusat marine dan mempunyai tempat yang menarik untuk tujuan sukan, pelancongan marin, leisure, pendidikan dan kebudayaan. Nanti saya cerita kenapa saya ke sini...

Perjalanan saya dari KLIA ke Incheon International Airport mengambil masa lebih kurang 6 jam. Namun destinasi saya bukan di Seoul. Dari Incheon International Airport saya naik pula limousine bus ke Gimpo Airport… lebih kurang 20 minit perjalanan. Agaknya airport ini adalah untuk penerbangan tempatan kut sepertimana di Lapangan Terbang Subang.

Dari situ saya menaiki pula penerbangan tempatan Korea Airlines menuju ke Yeosu Airport yang mengambil masa lebih kurang 1 jam.

Nama Bandaraya Alor Setar terpahat ditugu peringatan
WongChoon Park .. iaitu satu pusat pelancongan yang

sedang dibangunkan..
Jadi letih jugalah perjalanan nak sampai ke situ… Hasrat  untuk menghadiri 8th Mayor Silk Road Forum Yeosu 2013 di kotaraya Yeosu  ini. Nampaknya perjalanan saya berjalan lancar sejak tiba di Incheon lagi kerana pihak urusetia telah atur segala dari Airport Incheon lagi..

Saya tidak begitu pasti bagaimana Majlis Bandaraya Alor Setar boleh berada dalam senarai ahli  laluan Silk Road ini hingga dijemput oleh jawatankuasa induk tersebut dengan segala perbelanjaan mayor yang hadir dalam forum  ini ditaja oleh Kerajaan Korea Selatan.  Walau bagaimanapun rasanya kerana kedudukan 'geography'  Kedah khususnya Alor Setar itu sendiri di katakan masih dalam laluan sutera disebelah selatan walaupun kebanyakan bandar-bandar yang terlibat ialah di utara bumi.  MBAS juga mula dikenali diperingkat antarabangsa melalui pencapaiaan anugerah-anugerah berprestij seperti yang diperolehi oleh Datuk Bandar MBAS di Swiss baru-baru ini.

Sepanjang Forum dok kat sinilah sambil dengar pelbagai
bahasa yang disampaikan.. tapi ada terjemahan 
kepada bahasa inggeris.
Selesai sudah majlis tandatangangan MOU antara
saya yang mewakili MBAS dengan Mayor Yeoshu City..
Inisiatif mengadakan ‘Silk Road Mayors Forum’  telah  dimulakan oleh  PBB pada tahun 2006 dalam usaha untuk mengujudkan kerjasama dan promosi  ekonomi,  pertukaran kebudayaan dan pembangunan pelancongan antara bandar-bandar sepanjang Laluan Sutera. Inisiatif terbaru yang diperkenalkan ialah untuk bekerjasama membasmi kemiskinan dengan meningkatkan kerjasama ekonomi,  sector pelancongan, pelaburan dan perdagangan. Dalam forum ini banyak diskusi telah dibuat dan pembentangan dari pakar-pakar yang datang dari pelbagai negara yang terlibat membincangkan dan membuat resolusi yang bersesuaian dengan kerjasama antara Bandar-bandar disepanjang laluan sutera.

Di akhir forum di Yeosu ini satu deklarasi bersama telah dikeluarkan yang dinamakan ‘Declaration Of Yeosu The 8th Silk Road Mayors Forum 2013’  Asas kepada deklarasi ini adalah berdasarkan thema ‘ Harmony Of Global Civilization And Roles Of The New Silk Road’

MBAS juga telah mengadakan MOU untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang yang memberi kebaikan bersama dengan Kotaraya Yeoshu, dimana satu majlis menanda tangani MOU antara Mayor Yeosu City dengan MBAS yang diwakili oleh saya.
MOU yang ditandatangani antara 
Saya mewakili MBAS dan Mayor 

Yeosu City. Mr Kim Chung Seog

Sempat berkenalan dan menyampaikan cenderamata 
kepada Dr Kwaak Young Hoon, Presiden WCO
(The World Citizens Organization)  Orang
yang memainkan peranan penting dalam 
menjayakan forum ini...mesra orangnya.





















Nama Bandaraya Alor Setar juga telah terpahat di Batu Peringatan di Woongchun Park… satu tempat pelancungan yang baru sedang dibangunkan.                                                                                                                            
Kotaraya yang pernah mengadakan forum ini sebelum ini ialah Tashkent Uzbekistan, LanZhou China, Almathy Kazakhstan, PyeongTaek Korea Selatan, Shiraz Iran, Grozny Chechnya  dan Gaziantep Turki .

Tahun hadapan telah diputuskan pula Bandar Urumqi , di  China..Bandaraya ini khabarnya majoritinya orang Islam..   Dengar namapun pelik-pelik. Rasanya jarang orang kita pergi melancong kat tempat-tempat ini .. tapi bila tengok 'slide' dan video promosi mereka nampak cantik dan indah pemandangan belaka dan bangunan-bangunan tinggi memang banyak kat situ….  Selama ini kalau buat lawatan pun hanya tempat2 yang biasa dilawati sahaja. Rupanya kita kurang pendedahan  ada lagi bandar-bandar yang amat jarang dilawati dan mempunyai pelbagai tarikan dan keunikan yang tersendiri yang belum pernah kita lihat…

Persembahan kebudayaan Korea 
banyak melibatkan gendang-gendang
yang pelbagai dari sekecilnya hingga
begitu besar.. begitu harmoni bila di
mainkan oleh anggotanyanya
Orang kata sudah datang ketempat seperti ini, saya ambil kesempatan juga melawat tengok beberapa tempat di sekitar Yeoshu ini. Cumanya urusetia tak bawa kami melawat tempat membeli belah mereka… saya pun dok tengok juga kat mana boleh ‘ shoping’ macam kita pi kat China dan Vietnam.. Tak dak tempat macam tu kat Yeoshu ni… frust juga…. Rasanya kena tukar balik lah duit Korea tu… mungkin di Bandaraya Seoul ada kut, tapi saya tidak berkesempatan untuk melawat
Seoul … hanya
Telah disahkan bahawa Alor Setar telah dimasukkan salah 
sebuah bandar yang berada di Laluan Sutera.. walau
 terletakagak ke bawah sedikit dari Laluan 
Sutera utama disebelah utara..
















sekadar lalu dipinggiran Bandar sahaja.. jadi terlepas peluang lawatan ke Seoul.

Anak buah  saya yang bersama saya ke Yeoshu telah tambah masa satu hari lagi kat Seoul untuk melawat sekitar tempat menarik di Seoul dengan bantuan tourist tempatan. Saya terpaksa berlepas ke Istanbul untuk mengikuti satu lagi program yang ada kaitan dengan program kualiti. Nanti saya akan cerita fasal program tu bila dah tahu apa itu TRIZZ. Jadi bukan pi makan angin juga lah saya… kena masuk seminar juga.  La nak cerita tak tau apa lagi… ni nak dengar bahasa apa pula tak taulah… rasanya bahasa France  pula kut sebab kursus tu di Paris. Kat Istanbul tu transit 2 malam sahaja. Sempat juga kut untuk tengok Bandar yang amat bersejarah dalam tamadun Islam ini. Harap2 begitulah…

Mengambil kesempatan promosi
kan Kedah & Alor Setar dengan

mengedarkan risalah-risalah 

berkenaan di kaunter 

pendaftaran Forum..
Berbalik kepada kotaraya Yeosu ini ianya sepertimana yang saya cerita pada awal pengenalan cerita ini memang sebuah bandaraya yang begitu pesat membangun. Apabila melawat luar Negara yang begitu berbeda dengan budaya kita,  saya suka sangat melihat , memerhati, mendengar dan merasai sendiri cara kehidupan bangsa Korea ni khususnya di Yeoshu… Kerana dari situ baru kita tahu bagaimana mereka boleh maju, boleh moden, boleh kaya, boleh tinggi tahap disiplin, boleh memahami teknologi tinggi, boleh segalanya… Ianya terletak kepada budaya yang diamalkan oleh sesuatu bangsa itu sendiri sejak turun temurun… Sebab itu kita jangan heran kalau sesebuah Negara itu kaya dengan segala hasil mahsyulnya baik dalam bumi, atas darat, atas udara tetapi Negara itu masih lagi tidak maju maju , masih miskin, rakyat porak peranda, dan segala macam yang lemah lemah belaka yang ada, harta yang mereka dikaut oleh orang luar. Sebabnya tidak lain dan tidak bukan ialah budaya yang diamalkan rakyatnya dan ditanamkan oleh pemerentah dulu dulu.

Forum ini disebarkan secara meluas di
akhbar utama Korea Selatan seperti

The Korea Herald..
Sebab itu Tun Dr Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia menyedari awal akan hakikat ini dan mengadakan 'Polisi Pandang Ke Timor'. Walaupun mereka bukan beragama Islam, tapi pada hakikatnya dari segi tingkah laku, kejujuran mereka, keilmuan mereka, kebaikan mereka memang menepati kehendak agama Islam… jadi yang mana baik dan tidak bertentangan dengan agama kita apa salahnya kita jadikan contoh dan amalan ikut mana yang bersesuaian.

Saya teringat semasa majlis menandatangani MOU sedang berlangsung antara saya dengan Mayor Yeosu City berlangsung, terdapat kesilapan dokumen yang diberikan untuk ditandatangani…  namun majlis itu berjalan juga, tetapi selepas itu saya didatangi oleh beberapa orang pegawai Yeoshu City yang saya rasanya pegawai2 kanannya.. berulang kali silih berganti memohon maaf, sampai saya naik rasa serba salah dibuatnya… Kalau kita cakap takat sekali cukuplah. Di sana tidak begitu, waktu lunch pula ada pula seorang pegawai kanan Yeoushu City yang cepat datang duduk sebelah saya dan sambil makan2 tu minta maaf lagi… waduh… sampai begitu sekali… Adakah ia kerana dimarahi oleh Mayornya atau memang merasa bila ada buat silap maka semuanya merasa bertanggungjawab hinggakan seorang demi seorang datang minta maaf….  Semasa tandatangan semula MOU itu dibilik khas  minta maaf lagi… Jadi tak tau nak kata apalah saya…

 Itulah antara budaya yang diamalkan  yang dari situ saja saya terasa amat kerdilnya diri saya dan orang orang kita bila berada dalam situasi sebegitu. Mereka tidak mahu langsung kita terkilan akan perbuatan mereka. Jadi sememangnya layanan mereka memang terbaik bagi saya bahasa yang mesra dan lembut walaupun cakap inggeris lebih kurang saya juga tunggang terbalik, tapi  masih nak bercakap dan boleh gelak bersama pula tu…..  kelembutan anak gadis mereka tu boleh bikin tersangkut hati juga tu kalau lama-lama dok bergaul dengan mereka.. Jadi jangan hairanlah artis Jehan Miskin boleh tersangkut kat gadis Korea walaupun kalau tengok wajah tu tak tera mana…. Eh.. pi kut tu pula.

Tahap disiplin mereka memang tidak dinafikan ketinggiannya. Disiplin mereka ini diterjemahkan melalui cara bawa kenderaan mereka, masa yang tepat, sampah tidak dibuang merata, tidak ada contengan disana sini setiap perabot jalan atau dinding, patuh kepada setiap undang-undang dan peraturan sehingga sepanjang saya berada di sini, terlalu amat kurang kelibat polis saya terlihat.  Bilik air awam , bilik air hotel dan tempat pelancungan dan dalam bandar sentiasa dalam keadaan elok dan berfungsi walaupun ianya kebanyakannya berteknologi tinggi, tapi tidak disalah gunakan dengan dirosakkan dan diconteng sana sini.  Mereka juga sentiasa tunduk bila nak berdepan dan bercakap dengan orang awam atau bersalam,  taksub dengan bahasa mereka walaupun tahu berbahasa inggeris mereka masih cakap bahasa Korea.. Cara mereka bekerja bila diberi tanggungjawab.. Semasa forum ini berlangsung, mereka sentiasa ada bersama kita, tak tinggal termasuk Mayornya yang saya rasa tak boleh langsung bercakap Inggeris tapi. Sampaikan tiap kali naik bas untuk balik ke hotel pun mereka beratur ditepi jalan untuk bye bye kat peserta seminar… Jadi itulah orang Korea yang saya rasa patut dicontohi.

Satu perkara menarik yang saya dapat belajar ialah melihat kepada penggunaan teknologi tinggi dalam segala bidang khususnya penggunan teknologi maklumat. Saya hairan juga kenapa kedai nampak banyak (kebanyakan lebar kedai tak sampai 3 depa} tapi tak nampak pelanggan masuk pi mai pi mai. Hari hari macam tu. Macam mana mereka nak untung. Rupanya kebanyakan penduduknya guna teknologi  it sahaja, order barang melalui internet sahaja. Sebab itu saya dapati ‘internet broadband’ mereka ada dimerata tempat, dan percuma sahaja. Telefon pilihan mereka tentunya Samsung dan LG. Saya sempat juga dibawa melawat dan mendengar taklimat di Kilang LG terbesar di Yeoshu. Saya tidak tahu samada kerajaan yang tanggung atau memang setiap premis perniagaan diberi insentif untuk sedia internet percuma…Di kedua dua hotel yang saya menginap pun internat wifi dan sambungan internet ada disetiap bilik tanpa ada masalah untuk digunakan. Berbeda sangat dengan kita di Malaysia.. Walaupun syarikat telekomunikasi di Malaysia untung berbilion Ringgit Malaysia tapi masih dikenakan kadar harga yang agak membebankan pengguna. Penggunaan internet dalam urusan harian penduduk memberi perubahan besar pada setiap aktiviti penduduk dimana kesesakan jalan raya kurang terjadi dan pergerakan wang tunai hanya berlaku dalam system sahaja. Disamping itu disebabkan tahap kejujuran yang tinggi dikalangan rakyatnya membolehkan system perniagaan melalui internet ini berjalan lancar .

Melalui system IT yang terkini dan tersebar luas baik dikalangan rakyatnya yang berbilang usia , yang tua pun cekap guna it maka saya tertarik satu cara urusan niaga yang dijalankan dengan mengunakan kad … dipanggil kad 'T-Money Card'. Kad ini lebih kurang kad Touch N Go.. tapi penggunaan kad Touch N GO ini tidak meluas penggunaannya, jadi ada setengah tempat boleh guna dan ada setengah tempat tak boleh guna.. Ini menimbulkan masalah juga . Tapi  di Korea Selatan dengan penggunaan kad ini, dimana mana sahaja tempat kedai ada kemudahan bayaran menggunakan kad ini. Kalau tidak ada kemudahan ini kemungkinan orang tak masuk kedai tersebut. Pengguna boleh tambahkan duit pada kad itu ditempat yang ditetapkan disubway stations yang mempamerkan loga kad T Money Card.. Kad  ini membolehkan digunakan untuk tambang bas, subways, parking, tol, masuk tempat pelancongan yang berbayar. Pelancong wajar gunakan kad ini kerana kalau tidak habis belanjapun ianya boleh dituntut balik. Saya rasa kita di Malaysia boleh laksanakan ini kerana kita sudah ada kad Touch N Go… mungkin syarikat lain boleh ditambahkan lagi. Cumanya kemungkinan kedai kedai tidak mahu ambil bahagian dalam menyediakan kemudahan seperti ini mungkin kerana bayaran penyediaan peralatan dan kemudahan talian yang agak masih mahal menjadi penghalang kepada penggunaan secara lebih menyeluruh dan meluas . Sebab itu untuk kemudahan bayaran melalui kad kredit pun ada masalah kos yang agak tinggi menyebabkan kedai-kedai kecil tidak mahu membukanya. Rakyat Malaysia pula bukan semua ada kad debit atau kad kredit, walaupun berpendidikan tinggi atau sederhana… tak taulah fasal apa.. alasan utama takut tak boleh kawal penggunaannya atau takut terlajak membeli belah… kalau itu isunya.. itu hanya masalah sikap dan tabiat diri seseorang sahaja… Ini susah mahu diajar… sendiri fikirlah..

Satu lagi kad yang diperkenalkan khas untuk pelancong sahaja ialah 'Seoul City Pass Card'. Kad ini membolehkan pelancong menggunakan tanpa had untuk seluruh kawasan kawasan bagi digunakan menaiki Seoul City Tour Bus dan naik mana-mana bus dan subways yang ada di Seoul. Harganya lebih murah berbanding dengan belian setiap kali hendak guna kemudahan awam tersebut. Kad ini memang berbaloi untuk dibeli kerana memang murah dan menyenangkan Pelancong boleh membeli kad ini di Airport dan 'convenient stor' yang ada disekitar bandar dan pusat penerangan pelanconngan Korea Selatan.  Penduduk tempatan tidak boleh memiliki kad ini kerana ia khusus untuk pelancong luar negara  sahaja kerana terdapat diskaun yang agak banyak apabila memiliki kad ini.

Negara yang kaya dan rakyatnya kaya dan tahap pengangguran yang rendah selalunya tidak mengundang kepada risiko keselamatan kepada rakyat dan pelancong yang datang . Negara akan selamat sebab semua rakyat ada kerja. Yang jadi masalah kalau tidak ada kerja yang cukup itu yang menyebabkan kes jenayah berlaku dengan berleluasa. Jadi Malaysia dan warga dikawasan Majlis Bandaraya Alor Setar kena maju dan ada duit yang mencukupi untuk berbelanja  baru hidup aman sentosa. Kalau adapun itu hanya sekadar isu isu terpinggir sahaja yang tidak dapat dielakkan. Namun begitu dalam politik tidak kira negara kaya atau tidak perebutan untuk menjadi pemerentah memang berlaku..  cuma caranya atau pendekatan yang berbeda. Bagi Negara Maju seperti Korea dan Jepun.. kalau gagal dan berlaku sesuatu yang tidak dapat diselesaikan dibawah kawalan pemerentah.. ketuanya bertanggung jawab dan letak jawatan tanpa dipaksa, di Malaysia bolehkah begitu…. Satu persoalan yang sukar dijawab bila melihat kepada realiti.....

Ok rasanya cukup takat sini saja cerita saya... dah nak berlepas ke Istanbul... Naik fligt Korean Airlines..... rasanya lebih kurang 10 jam juga penerbangan ke Istanbul... Lepas ni saya cerita pula kisah-kisah di Istanbul, Bandaraya Pertembungan Asia dan Eropah.. tentu menarik kan....

asriredha \,teratak kasih...

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melayari blog saya. Komen anda pasti memberikan penambahbaikan kepada ilmu pengetahuan saya dan juga kepada paparan blog saya.