27 December 2008

CABARAN DALAM BEKERJA

Assalamualaikum, kembali lagi berbicara..
Lama rasanya aku tidak menulis kembali diblog aku ni..bukannya ada apa cuma sejak kebelakangan ni agak sibuk sikit. Berita pertukaran jawatan aku agak mengejutkan aku kerana tidak menjangka aku ditukarkan begitu cepat sekali, jangkaan aku mungkin pertengahan tahun 2009 kemungkinan aku ditukarkan. Walau macamanapun aku terima sahajalah apa yang telah termaktub..apatah lagi pertukaran kerja ini adalah memberi aku peluang menimba pengalaman baru dalam pentadbiran tanah dan sekali gus memberi peluang aku kenaikan pangkat walaupun belum 'comfirm' lagi. Jadi sibuklah sikit dengan urusan pindah memindah ni, maklumlah duduk di pulau bukannya mudah nak tukar mai ke daratan. Banyak proses yang perlu dilalui.Walau bagaimanapun aku mengucapkan syukur ke hadzrat Allah SWT yang memberi peluang aku meneroka pengalaman baru dan tidak ketinggalah kepada pegawai-pegawai atasan aku yang masih memberi peluang dan kesempatan kepada aku untuk menunjukkan kebolehan dalam pentadbiran tanah. Insya Allah segala tanggungjawab yang diberikan itu akan aku pikul dan laksanakan dengan sebaik mungkin setakat mana kemampuan yang aku ada.

Tanggal 01.12.2008 aku melaporkan diri di Pejabat Tanah dan Daerah Sik..khususnya untuk bertugas di Pejabat Tanah Sik.. Pemerhatian dan penilaian permulaan aku pada hari pertama di Pejabat Tanah Sik sudah memberi aku satu gambaran bahawa terlalu banyak yang perlu aku buat di pejabat baru.. Tak taulaH samaada aku mampu atau tidak untuk menerima beban dan tanggungjawab yang ada... Walau bagaimanapun aku bertekad akan berusaha sedikit demi sedikit untuk megembalikan kegemilangan pentadbiran tanah supaya ianya menjadi pejabat yang menyeronokkan kepada kakitangannya dan pelanggan, peka dan prihatin dengan kehendak pelanggan dan pihak atasan, sentiasa proaktif akan perubahan semasa serta kreativiti kakitangan yang meningkat.

Sedikit kerisauan yang aku nampak ialah kekangan kewangan dalam menguruskan pejabat tanah ini..Awal-awal lagi aku dah dimaklumkan budget TNT bulan Oktober, November dan Disember 2008 dan habis. Kalau macam ni keadaannya macammana nak buat kerja dengan efisien. Sebagai agensi yang mengutip hasil kepada kerajaan negeri, pada pandangan aku wajar kakitangannya diberi peruntukan yang secukupnya untuk membolehkan mereka bekerja dengan sebaik mungkin dan meningkatkan lagi prestasi kutipan hasil dan cukai tanah...Sejak dulu lagi aku berpandangan begitu supaya jabatan-jabatan yang terlibat dalam mengutip hasil kerajaan diberi kemudahan yang secukupnya. Dalam keadaan sekarang ini, aktiviti luar kakitangan sebahagian besar terpaksalah ditangguhkan ke tahun depan, bila datang peruntukan baru..
Satu lagi yang merisaukan aku ialah tentang keselamatan pejabat yang begitu longgar..Ini satu cabaran juga bagi aku dalam mengendalikan jabatan yang amat penting dan penuh dengan dokumen-dokumen penting dan data-data tanah. Bayangkanlah kalau sesiapa memecah masuk ke pejabat dan merosakkan sistem komputer ataupun kalau terbakar bangunan tersebut, aku tak dapat nak bayangkanlah keadaannya macammana... nampaknya ini kena dibuat sesuatu agar setiap kakitangan lebih bertanggungjawab dan peka dengan keadaan yang ada sekarang ini..Kadang-kadang bila dah lama macam tu dan tidak pernah jadi apa-apa bencana, kita ambil tidak kisah sangat perkara tersebut. Bila dah berlaku baru kelam kabut.. dan kesannya memang menakutkan. Sedangkan penyelesaiannya adalah mudah sangat pada peringkat awal. Samaada mau buat atau tak mau buat saja.. Yalah kalau nak buat tu nak buat kerja lebih sikit, kena buat kertas kerja, kena masuk dalam budget, kena mengadap pegawai atasan untuk minta budget tambahan, kena perli, kena kutuk dan sebagainya..Kadang-kadang orang bagi kadang-kadang orang tidak bagi. Nasiblah.. pandai-pandailah ambil hati pegawai-pegawai atasan..tapi yang pentingnya kita kena mula dulu...kalau tidak mula macammana nak dapat. Inilah cabarannya namanya...



sriredha
teratak kasih
alor setar

24 November 2008

ISLAM AGAMA PILIHAN KU

ISLAM PILIHAN AGAMAKU


Hari ini aku pergi ke Sungai Petani untuk menghadiri Majlis Perasmian Pusat Bimbingan Islam (PUSBA) Sungai Petani oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah DA. Pusat ini ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Kedah sebagai Institusi pendidikan kepada saudara-saudara baru yang memelok Islam dan juga bertindak sebagai pusat sehenti bagi saudari baru dari aspek kebajikan, kaunseling dan sebagainya… Sebenarnya yang aku nak cerita ni bukan fasal perasmian PUSBA ini tetapi yang terasa sangat aku nak tulis ni adalah berkenaan pengalaman seorang wanita Cina yang baru 2 tahun memelok Islam..

Dalam program perasmian PUSBA ini ada satu aturcara yang disusun oleh penganjur iaitu Bicara Nur Hidayah yang bertajuk Islam Agama Pilihan oleh seorang seorang wanita saudara baru berbangsa Cina yang baru 2 tahun memelok Agama Islam.

Apa yang menarik sangat aku tengok ialah tentang pengorbanan wanita ini menghadapi pelbagai rintangan dan ranjau yang amat berat sebelum memeluk agama Islam. Dalam tempoh 2 bulan sahaja beliau mendapat hidayat dari Allah SWT dan tanpa ragu-ragu dengan hidayah yang diterima dari Allah beliau telah memeluk agama Islam. Cara beliau terima hidayah itu ialah melalu mimpi yang berulang kali dan juga kata-kata perangsang dan rakan-rakan yang beragama Islam.

Beliau terpaksa meninggalkan anaknya yang tersayang dan suaminya pernah memukulnya atas tindakannya tersebut. Anaknya masih bersama bekas suaminya yang belum mendapat hidayah dari Allah dan katanya hingga kini bekas suaminya itu masih lagi tidak dapat menerima akan tindakannya memelok Islam , tetapi keluarganya perlahan-lahan telah menerimanya sebagai anak ataupun saudara walaupun berlainan agama. Beliau yang bekerja disebuah syarikat jualan langsung Zhulian ditinggalkan sehelai sepinggang walaupun sebelum ini beliau hidup mewah bersama bekas suaminya yang sama-sama menjalan perniagaan jualan langsung.. Segala harta sepencariannya dirampas dan di kembalikan dan bekas suaminya masih menguasai segala-galanya…

Namun ketabahan wanita ini amat mengagumkan aku.. beliau masih muda tetapi semangatnya amat tinggi…Tidak hairanlah sepanjang bicaranya lebih kurang 40 minit, ramai tetamu-tetamu mengalirkan air mata mengenangkan nasibnya yang sebegitu rupa tetapi kerana Islam menjadi pilihan agamanya beliau rela meninggalkan segalanya dan sekarang ini bergiat aktif di PUSBA ini. Aku ni pun payah juga nak sedih, tapi sedikit sebanyak tergenang juga air mata, tapi nasb baik aku pakai cermin mata gelap tak nampak sangat…tapi aku nampak juga YAB Menteri Besar dok kesat mata dengan tisu dua tiga kali…begitu juga beberapa-beberapa VIP yang ada. Begitu menusuk kalbu penceritaan yang dibuatnya…

Melihat kesungguhan dan semangatnya yang sebegitu rupa, apakah semangat dan kesungguhannya itu tercanai dalam sanubari diriaku dan umat Islam warisan keturunan ini. Aku dan ramai lagi Islam keturunan. Sejauh manakah keimanan kita, sejauhmanakah kesedaran kita terhadap Islam…Apakah kita sebenar-benarnya mengikuti akan setiap ajaran yang ada dalam Islam. Mengapakah kita mengambil mudah sahaja setiap persoalan berkaitan agama, akidah dan sebagainya..

Semuanya ini sebenarnya menginsafkan aku bahawa Islam itu sebenarnya membawa segala kebaikan, membawa segala ketenangan, membawa segala keseronokan, membawa segala macam perkara yang baik-baik… Marilah kita sama-sama memelihara agama kita dan dan mengamalkan apa yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang



sriredha
teratak kasih
alor setar

Kecik-Kecik Dah Pandai Tipu