10 May 2009

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASIA INGGERIS (PPSMI) ....Apa Kesudahannya ?



10 Mei 2009, Teratak Kasih
Asri Redha

Hingga ke saat ini isu PPSMI belum lagi diberi kata putus oleh kerajaan walaupun bantahan-bantahan demi bantahan yang diterima. Terakhir ialah penentangan secara lebih drastik oleh kalangan para sasterawan dan pejuang bahasa kebangsaan yang sudah tidak tahan lagi dengan kelambatan kerajaan membuat keputusan berkenaan isu pelaksanaan PPSMI ini.

Kajian kementerian baru-baru ini seolah-oleh berat kepada hendak meneruskan juga pelaksanaan PPSMI ini dengan beberapa pengubahsuaian kecil yang berpilih-pilih. Namun YAB Menteri Pelajaran yang baru telah menolak cadangan dan meminta dibuat kajian semula dengan lebih menyeluruh. Beliau ini aku rasa amat memahami akan kehendak akar umbi sebenarnya. Kalau Menteri Pelajaran yang lama aku tak tahulah. Beliau asyik menyalahkan orang lain sahaja, kalau buat bantahan dan komen pasti dikatakan orang atau pertubuhan yang mengkritik itu ada agenda lain disebalik itu..

Sudah jelas lagi terserlah bahawa salah satu punca rakyat kurang memberikan sokongan kepada Barisan Nasional dalam pilihanraya lalu ialah kerana pelaksanaan PPSMI ini. Namun pihak pembuat dasar yang membuat keputusan tutup telinga dan mata mereka atas alasan demi kepentingan bangsa melayu itu sendiri........Siapa yang tidak mahu mempertahankan survival orang melayu di Malaysia ini. Tetapi biarlah cara yang lebih strategik dan kreatif sikit.

Hasil-hasil kajian oleh pakar-pakar dalam bidang pendidikan telah dipaparkan dan kebanyakannya menjurus kepada dikaji semula pelaksanaan PPSMI itu, kerana ianya amat merugikan bangsa Melayu sendiri selain mengenepikan dan menjatuhkan martabat bahasa Melayu itu sendiri.

Kajian oleh UPSI sendiri telah mendapati 70% pelajar Melayu/Bumiputera di sekolah kebangsaan terutaa golonga sosioekonomi rendah di bandar dan luar bandar berdepan kesusahan belajar kedua-dua mata pelajaran berkenaan dalam bahasa inggeris. KEadaan ini akan berterusan.

Oleh kerana asas matematik dan sains pada peringkat rendah lagi sudah lemah, maka apatah lagi ianya akan dibawa ke peringkat menengah dan tinggi. Golongan yang mendapat faedah daripada pelaksanaan PPSMI ini ialah antara 20% - 30% pelajar sahaja dari kalangan keluarga profesional, golongan menengah dan bandar yang sebahagian besarnya menggunakan bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa keluarga.

Adalah sesuatu yang tidak masuk akal jika kita katakan kecekapan bahasa inggeris itu menjadi prasyarat utama untuk membolehkan pelajar meneruskan pelajaran tinggi dalam bidang sains, teknologi dan matematik dengan lebih baik. Sistem yang dibuat sebelum pelaksanaan PPSMI ini sememangnya telah berjalan dengan baik, entah kenapa ianya dikatakan orang melayu tidak boleh meningkat lebih tinggi lagi kalau belajar sains dan matematik dalam bahasa melayu. Adakah ada agenda lain disebalik pelaksanaan tersebut yang tidak disedari oleh pembuat dasar dan yang mana boleh menjahanamkan terus bahasa melayu dan seterusnya orang melayu menjadi semakin ketinggalan pelajaran.

Pada saya pengetahuan yang kukuh dalam sains dan matematik disekolah rendah dan menengah menjadi prasyarat pengajian tinggi dalam pelbagai sains dan teknologi tinggi, tidak kiralah dalam bahasa apa dia belajar, bukannya hanya bahasa Inggeris sahaja. Kalau mereka lemah dalam sains dan teknologi diperingkat sekolah rendah dan menengah lagi maka macamana mereka hendak melanjutkan pelajaran tinggi dalam bidang sains dan teknologi, bukan kelemahan dalam bahasa inggeris. Pengetahuan yang kukuh dalam sains dan matematik (sebelum pelaksanaan PPSMI) telah membolehkan pelajar melayu menyambung pelajaran tinggi dengan mudah di Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Perancis, Korea, Jerman, Rusia dan sebagainya. Dengan mudah mereka belajar bahasa kedua untuk membolehkan mereka meneruskan pengajian mereka sebab pengetahuan matematik dan sains mereka adalah kukuh.

Anak saya sendiri dapat tawaran belajar teknikal di Jepun dimana kita difahamkan mereka langsung tidak menggunakan bahasa inggeris, tetapi pengalaman lalu jelas pelajar-pelajar tersebut belajar bahasa Jepun dalam tempoh tidak sampai 2 tahun dan seterusnya belajar teknikal dalam bahasa Jepun di negara matahari terbit tersebut. Bolehpun mereka belajar teknikal dalam bahasa Jepun pula tu.

Jadi dasar PPSMI ini telah mengecilkan peratus dan bilangan pelajar melayu yang cekap dalam matematik dan sains untuk pengajian tinggi dalam bidang sains, teknologi dan profesional. Bagi saya dan sebahagian besar pejuang bangsa dan bahasa, dasar PPSMI ini adalah satu kesilapan besar dan strategi yang salah untuk membina bangsa melayu yang berjaya. Ianya akan melebarkan lagi jurang kaum yang yang sememangnya orang melayu masih lagi jauh ketinggalan.

Sebenarnya dasar balik menggunakan bahasa melayu untuk pengajaran sains dan matematik tidaklah sesukar yang digambarkan oleh pihak pembuat dasar. Kadang-kadang mereka itu malu untuk mengakui kesilapan besar yang dilakukan. Tetapi terimalah hakikat bahawa orang melayu tidak boleh terima cara yang dibuat itu.

Apa yang penting ialah baikilah kurikulum dan pendekatan bahasa inggeris untuk meningkatkan penguasaan bahasa inggeris pelajar sekolah rendah dan menengah kita. Buatlah supaya belajar bahasa inggeris menjadi pelajaran yang menyeronokkan dan tidak membosankan pelajar. Kalau semua pelajar boleh menguasai bahasa inggeris akan lebih bertambah peluang mereka meneroka lebih banyak lagi ilmu-ilmu yang ada.



12 Julai 2009: Makmal ICT, WDA

PERKEMBANGAN TERKINI...

Alhamdulillah, apa yang aku bimbangkan selama ini semakin terlerai dengan pengumuman YAB Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Malaysia YAB Dato' Seri Muhyiddin b. Yassin yang telah mengumumkan bahawa PPSMI tidak lagi akan dilaksanakan sepenuhnya berkuatkuasa 2011. Walau bagaimanapun bagi pelajar yang sedang berada dalam program PPSMI ini mereka telah diberi kebebasan untuk memilih samaada belajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris atau dalam bahasa Malaysia/Tamil/China. Sepatutnya perkara ini sudah lama diumumkan agar pelajar-pelajar dan ibubapa tidak hilang arah tujuan dalam sistem pendidikan kita.

Kajian-kajian akademik yang dijalankan oleh beberapa universiti tempatan telah menunjukkan memang tidak ada peningkatan dalam penguasaan matematik dan sains walaupun diajar dalam bahasa Inggeris, malahan semakin terok terutama bagi murid-murid yang berada di luarbandar yang serba kekurangan itu. Dengan kekangan guru-guru berpengalaman dalam bahasa Inggeris menambahkan derita lagi murid-murid yang terlibat. Sayapun tidak tahu apalah yang susah sangat nak buat keputusan untuk menarik balik program ini dari awal lagi. Kesannya negara rugi berbilion ringgit sedangkan hasilnya tidaklah sepertimana yang diharapkan...Nah sekarang kan kah senang.

Memang ada juga orang yang tidak setuju dengan pembatalan program PPSMI ini, tapi memanglah kita kena mengikut kehendaki majoriti terutama penduduk-penduduk yang tinggal dipendalaman dan diluar bandar yang masih lagi jauh ketinggalan dalam pelbagai segi .Jangan hanya percaya pada undi dalam internet dan sms sahaja. Orang-orang kampong berapa kerat sangat yang ada komputer dan berinternet pula tu.

Apa yang saya harapkan ialah pihak kerajaan dapat mempertingkatkan lagi pembelajaran bahasa Inggeris dengan lebih sistematik, menarik dan berkesan. Dengan kebolehan dalam bahasa Inggeris akan membolehkan anak-anak muda kita dapat meneroka lebih jauh lagi tidak sahaja ilmu sains dan matematik malah segala ilmu-ilmu yang ada didunia ini.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melayari blog saya. Komen anda pasti memberikan penambahbaikan kepada ilmu pengetahuan saya dan juga kepada paparan blog saya.