04 November 2009

WARGA TEMPATAN DALANG KUARI PASIR HARAM DI SIK

PEKAN SIK - Kegiatan kuari pasir secara haram semakin menjadi­-jadi, walaupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sering melaku­kan pelbagai operasi tanpa mengira waktu bagi mengatasi masalah tersebut. Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Sik, Mohd Asri Redha Abdul Rahman berkata, antara faktor yang menjadi penyumbang utama kegiatan ini sentiasa berterusan kerana terdapat sesetengah kuari pasir beroperasi secara haram didalangi oleh orang tempatan.

Menurutnya, berpunca daripada itulah, kadang-kala operasi yang dijalankan sering menemui kegagalan kerana pihak pengusaha kuari haram seakan­-akan dapat menghidu kehadiran mereka.
Lawatan demi lawatan yang berterusan ke tapak kuari dan kawasan yang menjadi tumpuan kuari haram sentiasa dibuat oleh Pejabat Tanah Sik

"Namun begitu, alasan tersebut tidak pernah menjadi halangan kepada kami untuk meningkatkan operasi mem­banteras kegiatan kuari pasir secara haram sama ada pada hari biasa atau pun hujung minggu.

"Walaupun tidak mempunyai kakitangan yang cukup untuk melakukan operasi serbuan berkenaan, namun kami amat memandang serius masalah tersebut kerana kesan kegiatan itu telah menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat;' katanya.

Pentadbir Tanah Daerah Sik turun ke padang untuk memastikan operasi penguatkuasaan berjalan lancar dan berkesan.
Mengulas mengenai kejadian jambatan runtuh ekoran kegiatan kuari pasir di Kampung Landai, Mohd Asri berkata, pihaknya sering melakukan serbuan menyita kuari beroperasi secara haram di kawasan berkenaan, namun kegiatan tersebut terus aktif.

"Setakat ini hanya tiga permit sahaja yang dikeluarkan untuk melakukan aktiviti kuari pasir di situ, dua permit diberikan kepada Bina Darul Aman Berhad (BDB), milik Kerajaan Negeri dan satu permit orang perseorangan."Mana-mana kuari pasir yang mempunyai permit, kita tidak menghadapi sebarang masalah, sebaliknya berbeza dengan kuari beroperasi secara haram;" katanya.

Beliau berkata, langkah yang diambil oleh mereka buat masa sekarang adalah dengan menyita kawasan beroperasi secara haram selain memberi amaran keras kepada pengusaha termasuk pemilik tanah kerana membenar­kan aktiviti tersebut dilaksana­kan.

"Selain itu, kami juga turut menahan mana-mana lori yang mengangkut pasir dan batuan tidak mempunyai permit sah serta tidak membayar royalti seperti ditetapkan oleh Aturan Tanah Kedah.

"Jika kes tersebut disabitkan kesalahan oleh mahkamah, hukuman maksimum RM50,000 dan penjara tidak lebih lima tahun boleh dikenakan atas kesalahan membawa keluar bahan batuan tanpa permit yang sah," katanya.

Katanya, dalam perkemban­gan terbaru pihaknya juga telah menahan sebuah lori yang gagal menunjukkan permit sah sewaktu mereka mengadakan operasi pada awal pagi 1 November 2009 di Pekan Gulau.

"Lori berkenaan dipercayai membawa muatan pasir yang dikorek sekitar kawasan Landai untuk dihantar ke satu destinasi lain. Namun pihak kami berjaya menahan lori berkenaan pada jam 6.50 pagi setelah mengada­kan operasi seawal jam 4 pagi di situ.

"Sewaktu ditahan, pemandu lori berkenaan cuba untuk mengeluarkan muatan yang dibawa namun tidak berhasil dan kami telah membuat laporan polis berhubung kes berkenaan dan pemandu lori dilepaskan dengan jaminan pihak polis," katanya.


Menurutnya, sepanjang tahun ini sahaja sebanyak enam permit kuari pasir telah ditarik balik kerana pengusaha kuari me­langgar syarat-syarat yang ditetapkan sewaktu perjanjian. Walau bagaimanapun kuari ini dibenarkan dibuka kembali setelah membuat rayuan namun pengusaha perlu membayar deposit lebih tinggi iaitu RM10,000 berbanding RM7,000 sebelum ini selain perlu mematuhi syarat-syarat lebih ketat. Deposit sedia ada dirampas.

"Setakat ini, hanya terdapat 18 kuari pasir dan tiga kuari batu yang mempunyai permit aktif beroperasi secara sah di sekitar kawasan daerah Sik selebihnya kegiatan kuari secara haram," katanya.Sinar Harian turut meminta komen beliau berkenaan bantahan penduduk Kampung Lahar yang meminta kerja-kerja kuari Pasir disepanjang Sungai Kuala Muda dihentikan setelah 12 tahun beroperasi.

Katanya kuasa pemberian atau proses tarik balik permit pengusaha kuari berkenaan adalah dibawah bidang kuasa Pejabat Tanah Kuala Muda, walaupun yang menjadi mangsa keadaan adalah penduduk disebelah Sik."Namun begitu, pihak kami tidak memandang ringan perkara berkenaan dan turut menasihati pengusaha tersebut supaya mengambil kira kepentingan masyarakat setempat jika kerja­-kerja tersebut terus dijalankan."Masyarakat juga perlu memainkan peranan mereka untuk menyekat kegiatan operasi kuari pasir haram ini dengan cara membeli atau mengambil pasir dari tempat mempunyai permit sah serta dibawa oleh lori yang telah membayar royalti," katanya
.
Mohd Asri Redha berkata, PBT daerah ini amat serius ber­hubung penguatkuasaan dalam membanteras kegiatan kuari pasir beroperasi secara haram, dan hasil perbincangan satu Jawatan Kuasa Penguatkuasaan Peringkat Daerah Sik akan ditubuhkan . Jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan sendiri oleh Pegawai Daerah Sik, dan antara jabatan yang akan bekerjasama seperti Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Sik, Perhutanan, Jjabatan Pengairan Dan Saliran, (JPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Majlis Daerah Sik (MDS)


Petikan dari Akhbar Harian Sinar pada 04 November 2009

asriredha
teratak kasih
alor setar

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melayari blog saya. Komen anda pasti memberikan penambahbaikan kepada ilmu pengetahuan saya dan juga kepada paparan blog saya.