29 October 2010

2nd ICUDM 2010 : "Towards Sustainable Green Cities"

26.10.2010
PWTC, Kuala Lumpur

Hari ini saya menghadiri satu 'conference' peringkat internasional yang dikendalikan oleh INSPIN dengan kerjasama UTM. Bukan senang untuk menganjurkan persidangan besar seperti ini. Ianya memerlukan komitmen dan kesungguhan pihak penganjur untuk mengelolakan persidangan ini apatah lagi ianya bertaraf internasional. Tahniah diucapkan kepada pihak penganjur dan AJK yang terlibat terutama sebahagian besarnya pegawai-pegawai KCS yang diketuai oleh YB Dato' Hj Mohd Puat b Mohd Ali, Pegawai Kewangan Negeri Kedah yang terlibat secara langsung dalam mengendalikan persidangan ini.

Ini membuktikan ada kalangan pegawai KCS yang benar-benar berkemampuan menguruskan sesuatu program peringkat nasional dan internasional. Program tersebut ialah ialah ' International Conference On Urban Development And Management 2010 (ICUDM 2010) yang diadakan selama 2 hari bermula dari 26.10.2010 hingga 27.10.2010 di Putra World Trade Centre Kuala Lumpur. Saya hadir sebagai peserta sahaja. Cumanya rakan-rakan KCS yang dijemput hadir agak kurang, walaupun segala perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan. Sepatutnya perlu hadir ke persidangan ini dalam usaha menambahkan lagi ilmu dan pengalaman yang boleh dijadikan panduan dan contoh dimana perlu di jabatan masing-masing disamping memberi sokongan kepada rakan-rakan yang bersusah payah mengelolakan persidangan ini.

Pelbagai topik dibincangkan yang merangkumi isu-isu dan contoh-contoh terbaik dalam menguruskan pembangunan tanah dan pembangunan fizikal di Malaysia dengan mengambil contoh-contoh dari dalam dan luar negara. Antara topik-topik yang dibincangkan ialah berkenaan isu-isu tanah, pembangunan hartanah, pembangunan luar bandar, pengurusan dan pentadbiran tanah, isu-isu alam sekitar, perancangan pembangunan tanah, perancangan PBT, penilaian tanah, perundangan tanah dan PBT dan lain-lain yang berkaitan. Semua perbincangan dan cadangan adalah kearah 'Towards Sustainable Green City'. Bukan setakat pembangunan tanah sahaja dibincangkan tetapi pelbagai topik yang melibatkan apa-apa pembangunan perlu mengambil kira akan alam sekitar dan mesra alam.

Mengapakah isu-isu seperti ini amat diberi perhatian oleh ramai orang. Manusia sekarang ini semakin terdesak. Pembangunan berlaku dengan begitu pesat. Manusia semakin rakus dengan pelbagai aktiviti hingga mengabaikan pembangunan yang mapan...mengabaikan alam sekitar, mengabaikan kesejahteraan alam..Jenayah terlalu banyak sekarang ini. Sudah ada tanda-tanda mala petaka buruk yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Bumi sudah tidak lagi tenteram seperti dulu. Ais semakin cair dikhutub utara dan selatan, banjir tiba-tiba sahaja berlaku, gempa bumi berlaku dengan kerap sekali, ribut dan taufan kerap sangat melanda, tsunami menjadi ancaman bagi kawasan tanah rendah, hidupan laut semakin berkurangan, tanaman kurang menjadi, kebuluran merata tempat, sungai tidak lagi jernih seperti dulu, penyakit yang bermacam-macam semakin timbul dan segala macam perkara yang menakutkan berlaku sekarang ini. Semua ini memerlukan perhatian yang bersungguh-sungguh dari semua pihak untuk mengambil peranan masing untuk memastikan bumi yang kita duduki ini tidak meradang lagi. Allah S.W.T telah menjadikan bumi ini dalam keadaan yang baik.. Kehancuran dan kemusnahan bumi yang berlaku dan akan berlaku adalah disebabkan oleh manusia itu sendiri.

Saya terasa untuk memberi sedikit pandangan bila mengikuti sessi terakhir persidangan ini dimana diadakan pula 'Technical Session' dimana panel yang berwibawa dijemput untuk membincangkan tajuk " A Review Of National Land Code 1965 - Agenda For Reform". Pengerusi Sessi Teknikal ini ialah Dato' Hjh Che Barni Hj Mohd Noor...Rasanya hebat-hebat juga KCS ini dalam mengulas dan menganalis hal-hal teknikal seperti ini dipersada nasional dan international....

Saya berpandangan sudah sampai masanya mereka yang terlibat dalam pengurusan dan pentadbiran tanah diberi nafas baru dan diiktiraf sebagai satu profesion yang tersendiri. Malahan boleh dianggap profesional. Ini adalah kerana dalam pentadbiran dan pengurusan tanah ianya merangkumi pelbagai disiplin ilmu yang perlu diketahui. Dalam pentadbiran tanah ada hal berkaitan undang-undang. Berpuluh-puluh akta, undang-undang , pekeliling , garis panduan dan keputusan exco ada dalam menguruskan tanah yang perlu difahami sepenuhnya. Kesilapan memahami dan mentafsirkankan setiap undang-undang tanah boleh memberi kesan negatif kepada negeri. Dalam menguruskan tanah juga ada unsur-unsur penilaian tanah, perancangan bandar dan desa, pengukuran tanah, pengurusan kewangan, pengurusan sumber manusia dan penguatkuasaan.

Semua ini memerlukan pegawai-pegawai yang benar-benar tahu dan mahir dalam menguruskan hal-hal tanah. Kalau sekadar ditempat setahun dua dalam jawatan sebagai pentadbir atau penolong pentadbir tanah belum tentu kita mendapat ilmu sepenuhnya dalam menguruskannya. Adalah bertepatan sekali pihak UTM telah menyediakan ruang yang cukup untuk melatih graduannya dalam bidang pentadbiran tanah. Seperti mana yang dipraktikkan di Malaysia pentadbiran tanah biasanya mempunyai 4 fungsi utama iaitu pemilikan tanah, penilaian tanah, penggunaan tanah dan pembangunan tanah. Keempat-empat fungsi ini memerlukan pelbagai kemahiran dalam pelbagai disiplin ilmu seperti yang saya sebutkan tadi iaitu perancangan bandar dan desa, penilaian hartanah, pengukuran tanah, teknologi maklumat, perakaunan kewangan, perundangan dan pengurusan sumber manusia.

Seorang yang memegang jawatan Pentadbir Tanah dan Penolong Pentadbir Tanah seharusnya ada semua disiplin ilmu tersebut sekurang-kurangnya secara asasnya dan mereka perlu profesional dalam tugas mereka. Lagi lama mereka bertugas dalam jawatan-jawatan sedemikian, lagi tinggi kemahiran dan pengalaman mereka dalam menguruskan tanah. Para ahli panel berpendapat bahawa sudah sampai waktunya jawatan-jawatan seperti ini diberi nafas baru. Pengurusan tanah pada masa kini dan akan datang semakin bertambah kompleks ditambah dengan penggunaan teknologi maklumat terkini. Mungkin pegawai-pegawai tadbir yang ada sekarang ini dikekalkan dalam pentadbiran tanah sepanjang kerjaya mereka.. Tidak ada masalah dari segi peluang kerjaya kerana dalam pentadbiran tanah juga terdapat peluang-peluang kenaikan pangkat yang luas, cumanya mereka perlu duduk didalam pentadbiran tanah secara berterusan. Dengan cara ini barulah pegawai tersebut mahir sepenuhnya dalam pelbagai kompleksiti pentadbiran tanah yang semakin mencabar.

Saya akui sendiri sebenarnya pada masa ini tidak ada sesiapa yang benar-benar mahir dalam setiap aspek pentadbiran tanah kerana pegawai-pegawai yang ada silih berganti dengan jawatan yang kadang-kadang tidak berkenaan dengan tanah langsung. Ilmu yang diperolehi sepanjang dua atau tiga tahun dalam pentadbiran tanah tidakdapat dimanafaat dan dikembangkan sepenuhnya bila bertukar dan pegawai itu kembali ketinggalan perubahan-perubahan yang berlaku dalam pentadbiran tanah.

Saya sendiri 25 tahun yang lalu pernah bertugas di pejabat tanah selama 6 tahun, tapi bila masuk balik dalam pentadbiran tanah bermula tahun 2009, sudah ketinggalan banyak perkara, dan terpaksa belajar balik dari awal. Hendak merujuk kepada siapa sayapun tidak tahu, kerana semuanya lebih kurang sama sahaja ilmua. Tidak ada yang betul-betul pakar dan mahir dalam pentadbiran tanah.

Satu perkara lagi yang dibahaskan ialah berkenaan dengan Kanun Tanah Negara. Adakah ianya masih releven dengan perubahan-perubahan yang berlaku sekarang ini... Banyak perubahan perlu dibuat terhadap KTN. Tidak dinafikan memang ada pindaan-pindaan telah dibuat terhadap KTN tapi ianya perlu lebih menyeluruh agar ianya lebih praktikal.. Itu pandangan ahli akademik. Apa pandangan ahli politik pula....ini tentunya menimbulkan sedikit polemik tentang keperluan pindaan KTN dalam bab-bab yang tertentu... Soalnya saya rasa pihak KPTG perlu input dan cadangan dari pelbagai sumber dalam merangka bidang-bidang dan bahagian-bahagian yang perlu dibuat pindaan. Kalau setakat bercakap sahaja tanpa tampil memberi cadangan dan maklum balas secara lebih terperinci tidak ada maknanya....

Ok..rasanya itu sahaja komen saya, cakap banyak-banyak nanti melelong kelain tempat pula...saya ni bukannya orang akademik.. tidak ada ilmu yang tinggi apatah lagi ijazah sarjana sepertimana kawan-kawan yang lain yang ada 'masters' dalam bidang pengurusan tanah.....mengaji setakat cukup makan aje...

asriredha teratak kasih alor setar

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melayari blog saya. Komen anda pasti memberikan penambahbaikan kepada ilmu pengetahuan saya dan juga kepada paparan blog saya.