27 December 2016

SMART CITY EXPO - WORLD CONGRESS

Catatan : Mohd Asri Redha
Tarikh: 25 November 2016
Tempat: Fira De Barcelona (Gran Via Venue) Spain



Assalaamualaikum WBT.. dan Selamat Malam semua pembaca yang sudi membaca catatan sempoi2 saya ini. Bahasa yang saya pakai ini kalau masuk periksa, comfirm markah bawah 50% atau 'fail' terus..

Semua negara-negara didunia ini ada bandar-bandar besar yang perlu ditadbir dan diuruskan. Ada bandar besar yang hanya beratus ribu orang sahaja rakyatnya dan ada bandar besar yang berjuta bilangannya. Pihak berkuasa tempatan adalah institusi yang paling penting yang mentadbir kawasan-kawasan perbandaran tersebut.. cumanya mungkin gelaran institusi sahaja yang mungkin berbeda mengikut sejarah negara-negara terbabit.. Apa-apapun menguruskan sesebuah komuniti besar dibandar-bandar besar oleh Pihak Berkuasa Tempatannya bukan merupakan suatu yang mudah apatah lagi dengan pertumbuhan mendadak penduduk-penduduknya.

Smart City Expo World Congress merupakan satu program peringkat antarabangsa yang diadakan pada setiap tahun. .    Ianya lebih berat   kepada pertemuan para bijak pandai  yang berbincang, berdiskusi , berkenaan isu-isu perbandaran dan revolusi dalam bidang teknologi tinggi dan teknologi maklumat. Bagaimana isu-isu perbandaran yang semakin sulit dan mencabar dapat diselesaikan atau dikurangkan dengan penggunaan teknologi tinggi atau pun teknologi komunikasi atau aplikasi-aplikasi yang dibangunkan. Disamping itu diadakan Expo yang mempamerkan pelbagai barangan berteknologi tinggi , teknologi komunikasi terkini dan perisian-perisian berguna untuk kegunaan segala macam berkaitan mengatasi masalah-masalah dan isu-isu perbandaran serta yang berkaitan dengannya.

Bersama-sama sahabat saya dari Kulim Technology Park
Corporation ..Tn . Hj Shahil dan Tn Hj. Fithri.. org Kuat
KTPC ni.. dihadapan Fira De Barcelona.. Tempat dimana
kongres ini berlangsung
Saya telah berkesempatan untuk mengikuti Smart City Expo World Congress, di Barcelona, Spain mulai dari 15 November 2016 hingga 17 November 2016. Peluang yang saya dapat ini amat saya hargai dan sebab itu sepanjang 3 hari berkongress saya dapat menghadhiri semua aktiviti yang diaturkan.. Cumanya conggress ini melibatkan  terlalu banyak sessi yang diaturkan serentak seperti dialogue sessions , keynote sessions, keynote speakers , rountable sessions, plenary sessions dan parallel session.

Ini antara bengkel dan ceramah-ceramah yang saya hadhiri.
Ada 8 bidang utama yang dibincangkan dalam sessi  'parallel  sessions' yang melibatkan sektor kerajaan, ekonomi, sosial, 'mobility', data  dan teknologi, keselamatan, 'circular ekonomy'  dan 'sustainability'.. Jadi kena pandai-pandailah pilih subjek mana yang bersesuaian dengan kita dan minat kita. Memang semuanya menarik perbincangan-perbincangan yang diadakan kerana ia melibatkan para ahli panel dari pelbagai negara yang mempunyai pengalaman-pengalaman yang menarik dinegara mereka yang boleh dicontohi oleh kita.

Saya berminat tentang isu-isu perbandaran seperti berkaitan pengurusan sampah, pengurusan kitar semula, mobility dalam bandar, green technology, teknologi maklumat dan perbandaran dimasa hadapan. Jadi kenalah pandi-pandai pilih session yang berkaitan dengan itu sahaja.. Tapi itulah agak banyak diambil 'speaker' dari negara Eropah.. Jadi bahasa mereka yang asli juga digunakan. Ada guna bahasa Spain, bahasa France dan bahasa lainnya..  Kena pakai 'translator' pula.. Jenoh dengar, 'translation' cepat-cepat biasala... ayat bahasa inggeris pun jadi caca merba.. susah nak faham bagi saya yang kurang pendedahan bahasa Inggeris ni. . Sebenarnya seminar , kongres dan  persidangan peringkat antarabangsa memang macam tulah..  Ada negara-negara amat mementingkan bahasa ibunda mereka, jadi bercakap dalam bahasa ibunda mereka dengan bangga sekali.. Sebab itu ada khidmat penterjemah.. Jarang orang Malaysia cakap bahasa Malaysia di persada antarabangsa. Bahasa Inggeris juga yang menjadi bahasa internasional secara keseluruhannya.

Ringkasan setiap ceramah ditulis oleh seorang penulis 

yang bijak ambil point2 penting dan dipaparkan 

seperti ini..
Satu perkara yang saya berkenaan sangat dengan kongres ini ialah ada pencatat yang ambil point-point penting dari penceramah yang terlibat dan ditulis balik dalam bentuk tulisan nota serta lukisan yang memudahkan pemahaman . Saya ambil gambar semua catatan tu.. bolehlah faham sikit-sikit kerana tidak ikuti semua ceramah tersebut sebab kebanyakannya dibuat serentak dan kena buat pilihan tajuk-tajuk yang kita gemari.

Sebenarnya menguruskan persidangan antarabangsa seperti ini tidak semudah yang difikirkan. Macam-macam karenah akan dihadapi. Saya sendiri bersama dengan rakan-rakan menghadapi masalah juga semasa pendaftaran ke kongres ini. Urusetia yang tidak begitu cekap menyebabkan maklumat yang diberikan tidak dikemaskinikan di kaunter pendaftaran menyebabkan proses pendaftaran yang begitu lama, sedangkan segala urusan telah dibuat dengan sebaik mungkin oleh semua rakan-rakan dari Malaysia..  Nak masuk kongres ini bukan murah.. kena bayar yuran lebih kurang Euro750 seorang kena dibayar pada pihak penganjur.. kalau ditukar ke RM mahal sekali, tapi itulah standard nya di Eropah.

ekspo dan kongres ini diadakan disebuah tempat persidangan yang terkenal di Kota Barcelona ini  iaitu di Fira de Barcelona (Gran Via Venue) AV Joan Carles I, 58. 08908 L'Hospitalet de Llobregat (Barcelona) . Dari segi perbandingan tempat   rasanya tempat persidangan kita di PICC Putrajaya lebih menarik dan indah serta lengkap..  Cumanya yang menarik disini ialah kemudahan yang disediakan itu agak lengkap dengan banyak hotel disekelilingnya yang boleh dihubungi dengan berjalan kaki sahaja. Di samping itu kemudahan pengangkutan awamnya adalah terbaik dan ada perkhidmatan teksi yang cekap serta stesen keretapi bawah tanah yang dekat dengan pusat expo tersebut. Di samping itu saya lihat kawasan parking juga agak luas. Saya dan rakan-rakan telah cuba juga menaiki keretapi bawah tanah itu.. Cepat juga perjalalannya dari hotel penginapan saya di La Ramla ke Pusat Expo tersebut.. Cuma kadang-kadang keliru sikit. .. Ada setengah  tempat guna bahasa sepanyol sepenohnya.. dan ada petugas yang tidak begitu faham bahasa inggeris... Kita kena cuba juga kemudahan pengangkutan awamnya untuk merasai sendiri keretapi bawah tanah mereka. Memang efisien dari segi perjalanannya. Begitu juga perkhidmatan teksinya boleh dipercayai.


Perabot pamiran diperbuat dari kertas sahaja. 
Lawatan kesetiap pamiran yang diadakan di dewan besar tersebut saya dapat melihat akan begitu banyaknya sistem yang dibina berasaskan teknologi maklumat dan internet disamping teknologi fizikal yang berteknologi tinggi.  Semua sistem-sistem yang dibina ini atau aplikasi yang dibangunkan ini kebanyakannya setelah mengambil kira akan isu dan masalah-masalah besar yang berlaku dikawasan-kawasan perbandaran. Begitu juga teknologi-teknologi yang diperkenalkan baik teknologi fizikal dan teknologi maklumat adalah amat terkini. Kebanyakannya sudah jauh kehadapan berbanding kita. Sebab itu kita dapati tahap kesejahteraan warga kota mereka kebanyakan bandar besar mereka adalah tinggi walaupun mempunyai penduduk yang begitu ramai.

Sebab itu bagi negara-negara maju saya dapati kebanyakan bandar-bandar besarnya atau kecil sudah melaksanakan pelbagai pendekatan teknologi yang terkini/moden  baik dari segi fizikalnya atau aplikasi yang digunakan.

Barcelona adalah salah satu contoh bandar metropolitan yang terbesar di Barat Mediterranean. Area Metropolitan de Barcelona (AMB) adalah Pihak Berkuasa Tempatan yang ketiga besarnya dalam wilayah Catalonia.(Wilayah Catalonia mempunyai 36 municipality. Jumlah penduduk 7.5 juta)).  Dengan bilangan penduduknya yang melebihi 3.5 juta orang  Pihak Berkuasa Tempatannya telah berjaya menguruskan Kota ini dengan baik dan memberi kesejahteraan kepada warga kotanya. Banyak kertas kerja yang dibentangkan dalam kongres ini datangnya dari pihak AMB sendiri. Sebab itu Barcelona menjadi mampu membina jenamanya sendiri dalam menganjurkan Smart City Expo kerana ada banyak contoh-contoh terbaik yang boleh dijadikan ikutan oleh kebanyakan negara-negara membangun. Saya difahamkan setiap tahun Barcelona mengadakan Smart City Expo dan Conggress nya sendiri.

Apakah isu-isu besar perbandaran dan cabaran penyelesaiannya.

Kebanyakan bandar-bandar besar diserata dunia menghadapi isu dan masalah yang hampir serupa sahaja iaitu isu penyelenggaraan infrastruktur, isu lalu lintas, isu pencemaran, isu kutipan sampah, isu kekurangan parking, isu alam sekitar, isu air kumbahan, isu banjir, isu penyediaan kemudahan awam dan kemudahan asas, vandalism, isu keselamatan, isu perumahan, isu kekurangan kawasan lapang dan riadah, isu penguatkuasaan , isu penyediaan pengangkutan awam ,  isu penjaja dan peniaga, isu sikap masyarakat kota yang tidak membantu dan segala macam isu-isu yang boleh disenaraikan lagi.


Kongres dan expo yang diadakan ini merupakan tempat pertemuan semua para bijak pandai dan pamiran segala macam peralatan sistem termoden dan aplikasi terkini yang dipamirkan disini. Boleh sahaja peserta atau pelawat  terus berbincang dengan mereka jika berminat dengan produk yang dibuat atau dibangunkan oleh mereka untuk dilaksanakan di Malaysia dimana bersesuaian...

Mobiliti penduduk dalam kawasan kota-kota besar merupakan satu daripada isu besar yang saya perhatikan dinegara kita. Malahan kota-kota yang sederhana besarpun menghadapi isu yang sama. Saya juga mendapati dalam beberapa sessi perbincangan yang saya hadhiri dalam kongress ini, isu yang sama dibangkitkan oleh para panel dan mereka ada memberikan beberapa pengalaman masing-masing dalam mengatasi masalah tersebut. Ini menunjukkan bahawa ianya bukan isu tempatan sahaja tetapi ia adalah isu yang sama dihadapi oleh kebanyakan penduduk dikotaraya besar.

Banyak jalan penyelesaian yang dikemukakan. Soalnya mampukah kita melaksanakan cadangan yang disarankan. Cadangan itu dalam bentuk bentuk perubahan fizikal bandar dan penggunan teknologi aplikasi serta mengubah amalan biasa warga kotanya. Ini yang menarik untuk dibincangkan dan dicari kata putus.

Kadang-kadang kita berasa teruja bila melawat kota-kota besar seperti di Tokyo, Shanghai, Barcelona sendiri, dan kebanyakan kota-kota besar di Eropah, kita dapati jalan-jalan rayanya begitu lebar sekali. Ada pula laluan pejalan kaki dan laluan berbasikal.. Seronok sangat melihat akan suasana begitu kerana dengan kenderaan 4 roda yang begitu banyak dalam kota, masih lagi ramai  warganya yang berbasikal dengan mudah dan selamat pula dan sistematik pula. Kereta pula tidak menghadapi masalah untuk mencari tapak parking. Dibawah tanahnya pula bersimpang sior dan bertingkat-tingkat laluan keretapi bawah tanahnya yang efisien. Semuanya ini sebenarnya menggalakkan penduduknya mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dalam bandar  dan menggalakkan penggunaan kenderaan awam seperti keretapi bawah tanah dan bas serta teksi. Bagi destinasi yang dekat-dekat wargakotanya hanya menggunakan laluan pejalan kaki dan laluan berbasikal yang begitu selamat. Sebab itu dibandar besar seperti Barcelona ini mereka berbelanja lebih dari 37% dari perbelanjaan tahunan mereka untuk tujuan transport dan 'moblity services'.

Sekarang ini sudah ada amalan penggunaan kenderaan tidak menggunakan minyak seperti penggunaan solar dan elektrik. Ini semua mengurangkan kebisingan kota dan mengurangkan pelepasan karbon yang beracun itu. Semuanya ini menghala kepada kesejahteraan penduduk kota. Penggunaan teksi pula amat efisien dan menggunakan meter sepenuhnya serta penggunaan GPS yang boleh dilihat oleh penumpang. Jadi kita rasa selamat bila menaiki teksi. Sebab itu di Barcelona ini saya dan rakan-rakan lebih suka menaiki kereta  sahaja dari Hotel di La Rambla ke tempat konggress berlangsung walaupun agak mahal sedikit lebih kurang Euro13 sekali perjalanan.

Banyak yang saya pelajari dari expo dan kongress yang saya hadhiri ini dan sememangnya ianya bermanafaat kepada pihak berkuasa tempatan yang menghadapi masalah-masalah kesesakan  dan mobiliti penduduk. Boleh dikatakan semua bandar-bandar besar atau sederhana besar menghadapi masalah-masalah perbandaran yang kadang-kadang sukar dirungkai.  Selain pengalaman berada di dalam Kotaraya Barcelona ini sendiri yang saya rasa banyak yang dipelajari, menghadhiri kongress dan melawat pamiran-pamiran yang diadakan itu amat bermanafaat ... Cumanya bila kita melihat pelaksanaannya , terbayang di Malaysia, mampukah kita laksanakannya berdasarkan situasi fizikal bandar semasa dan attitude warga kota yang belum banyak berubah. Lihatlah sendiri sikap-sikap setengah-setengah rakyat kita yang masih tidak membantu kearah kesejahteraan warga.

Dalam satu ruang pamiran yang saya kunjungi , saya tertarik bagaimana sistem parking kenderaan awam dikota dibangunkan. Rupanya sistem parking kenderaan awam ini , banyak ruang pamiran dari pelbagai negara dipamirkan. Ini menunjukkan betapa seriousnya isu parking dibandar besar disebabkan lot parking yang terhad berbanding dengan peningkatan kenderaan. Pelbagai sistem dan aplikasi diperkenalkan yang kalau saya nak cerita memang panjang. Tapi cukuplah untuk saya cerita satu dari tekniknya yang banyak menggunakan teknologi dan aplikasi dalam internet.

Kita sedia maklum kadang-kadang kita terpaksa berpusing-pusing beberapa kali untuk mencari tempat parking yang kosong. Bukan kita sahaja mungkin orang lain pun sama juga macam kita dan mengambil masa yang agak lama disamping menambahkan kesesakan jalan raya yang telahpun sedia sesak. Teknik yang diperkenalkan ialah hanya guna aplikasi yang dibangunkan diinternet dan kita pilih destinasi yang hendak ditujui dan secara automatik sistem akan menunjukkan data-data dimana parking-parking berdekatan yang masih kosong dan belum diisi lagi.  Jadi pengguna boleh terus membuat tempahan parking kalau dah pasti tempat parking tersebut. Jadi pemandu terus pergi ke lot tersebut untuk parking , dan tidak perlu risau tapak tersebut akan dimasukkan oleh orang lain kerana sistem yang dibangunkan itu ada cara-cara yang dipraktikkan yang tak perlulah saya terangkan disini macam mana operator buat. Semuanya secara automatik tanpa penggunaan tenaga kerja yang ramai.. Senangkan.. memang nampak senang tapi kosnya pun tinggi juga.. tetapi warga kota kebanyakan negara maju bersedia untuk membayarnya tanpa masalah dan vandalism juga amat kurang berlaku.

Banyak ruang expo mempamirkan berkenaan penggunaan

basikal di kota-kota .. Bukan setakat basikal tapi sistem

pengurusannya juga diperkenalkan dengan sistem2 dan

aplikasi  aplikasi yang diguna pakai dalam menguruskan

penyewaan dan penggunaan basikal ini. Sampai begitu

sekali... 
Laluan Basikal yang disediakan oleh PBTnya. Begitu juga basikal yang cantik dan tersusun 
elok yg blh disewa dimana saja. Ada setengah laluan hanya dipisahkan dgn cat shj. & ada 
setengahnya dipisahkan dengan bonggol untuk elak kenderaan memasuki laluan 
basikal. Tapi biasanya kenderaan tidak akan memasuki laluan tersebut.. warga 
kotanya juga sudah ditanamkan supaya meghormati akan pejalan kaki dan 
penunggang basikal. Undang-undang mereka juga ketat .
Begitu juga banyak pamiran menunjukkan sistem berbasikal dalam bandar.. Kadang-kadang terfikir juga dalam expo bertaraf internasional apa lah sangat dok tunjuk berkenaan basikal dan basikal elektrik...  Bagi peringkat internasional sekarang ini sudah ada kesedaran besar-besaran kearah penggunaan basikal dalam bandar.

Di Kota Barcelona ini sahaja ada 150 km panjang jalan basikal yang disediakan. Mungkin di Malaysia ini agak pelik, jarang kita tengok pekerja-pekerja pi opis menunggang basikal  atau menunggang basikal elektrik. Yang kita nampak ada la pekerja-pekerja Bangladesh yang naik basikal ke tapak pembinaan... Yang itu ada saya tengok... Kalau sapa boleh pergi kerja dengan basikal saya amat hormat hamba Allah itu.. tapi ramai yang memandang sinis akan cadangan berbasikal didalam bandar. Kemungkinan besar juga sebab utama kita malas nak menunggang basikal dalam bandar adalah kerana jalan raya kita tidak mesra untuk penjalan kaki dan penunggang basikal, tidak ada laluan khusus,  keadaan begitu mungkin juga kerana keadaan cuaca yang panas serta sikap pemandu-pemandu kenderaan yang tidak berdisiplin menakutkan penggunaan basikal dijalan raya.

Sebab itu dibandar besar negara maju ada saya lihat penyewaan basikal dalam bandar dan amat bersistematik. Sudah tentu bila melibatkan pinjam meminjam ini kejujuran itu amat penting dan warga mereka memang berintegriti tinggi.. Tidak dilaporkan kadar kehilangan basikal yang disewa itu. Pemantauan pergerakan basikan dibuat dengan teknologi komunikasi yang canggih. Ini yang diterangkan oleh pempamir berkenaan. Kalau jarak jauh sikit boleh menggunakan basikal elektrik yang amat menjimatkan. Dan memang saya lihat penggunaannya amat  praktikal dari segi mobiliti penduduknya.

Cumanya yang penting untuk perancangan bandar sekarang dan masa depan penyediaan laluan basikal khusus tidak lagi boleh ditinggalkan. Ianya perlu diwajibkan. Bagi jalan yang sedia ada, kemungkinan ubahsuai sedikit jalan-jalan sedia ada boleh dibuat dimana yang boleh untuk disediakan jalan khusus untuk berbasikal. Di Bandaraya Alor Setar sendiri telah dicuba buat disepanjang Jalan Stadium, tapi nampaknya pemandu kereta buat tak kisah saja kerana dijadikan pula tempat mereka parking tepi jalan.. Maka kembali kepada sikap juga yang menjadi masalahnya..


Transform Your City to The 

Digita Era......
Untuk menjadi sebuah Smart City .. penekanan kepada teknologi terkini dan aplikasi-aplikasi melalui internet sudah menjadi perkara wajib. Disamping itu perkara berkaitan 'zero waste management', kitar semula barangan buangan, penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui, zero karbon, green technologi dalam segala bidang, green building, pengurusan sistem keselamatan , pengurusan parking systematik, pengurusan trafik yang canggih,  adalah perkara-perkara pokok yang perlu diberi perhatian dalam perancangan bandar masa kini dan hadapan... Saya mencadangkan supaya modiul-modiul akademik di institusi pengajian tinggi perlu bergerak kearah tersebut dan tidak lagi boleh style lama yang statik dan sukar berubah mengikut perubahan masa dan sekitar.  Kalau tidak kita semua akan ketinggalan dalam segala bidang , kerana negara lain telah lebih terkehadapan.

Oleh itu saya mencadangkan untuk menjadi sebuah bandar 'smart city' komunikasi dan teknologi maklumat perlu ditingkatkan. Kos Internet perlu dikurangkan seminima mungkin dan liputan yang lebih meluas agar lbh ramai rakyat blh menggunakan smartphone / komputer untuk segala urusan2 harian... Saya lihat dinegara2 maju penggunaan aplikasi2 yg dibangunkan  utk urusan2 harian amat tinggi.. sebab itu amat penting perkara ini diberi perhatian oleh pihak berkuasa.. Di Korea Selatan negara yang pernah saya lawati, liputan internetnya begitu meluas disegala cerok kawasannya. Sebab itu kita dapati kedai-kedai mereka seperti tidak laku, macam tidak ada pelanggan , tapi sebenarnya urusniaga mereka hanya melalui talian sahaja. Jadi ini semua mengurangkan kesesakan lalulintas  seperti mana amalan kita yang suka melihat sendiri barangan hendak dibeli depan mata.  Ini menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya, penggunaan minyak kenderaan yang banyak dan juga banyak masa dihabiskan untuk urusan-urusan membeli belah seperti itu. Sedangkan melalui transaksi dalam talian, banyak masa dan tenaga dapat dijimatkan, begitu juga lain-lain kos yang kita tidak nampak dapat dikurangkan.

Oklah, saya rasa sudah terlalu banyak pula celoteh saya berkenaan 'Smart City Expo - World Congress' ini, hingga sampai Korea pula ni. Jadi saya rasa  hanya setakat ini sahaja catatan pengalaman saya dan pengajaran yang saya dapat ambil hasil dari mengikut Smart City Expo - World Congress ini. Bagi saya ia amat memberi manfaat dan membuka minda yang lebih terbuka dan luas terbentang bahawasanya diluar sana sudah  terlalu banyak perubahan dalam sudut-sudut tertentu yang jauh berbeda  dan terkehadapan dengan apa yang ada dinegara kita. Untuk lawatan-lawatan sekitar Kota Metropolitan Barcelona ini saya akan buat tajuk lain, kerana itupun banyak juga yang dapat saya lihat, rasai dan dengari dan semua itu dapat saya luahkan dalam catatan saya berikutnya.. Tunggu ya...

Catatan lawatan ke Stadium FCBarcelona: Klik saja dibawah
http://semangatjati.blogspot.my/2016/12/apa-yang-menariknya-stadium-di-barcelona.html

Catatan lawatan Kota Barcelona : Klik saja di bawah ..














asriredha
teratak kasih alor setar

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melayari blog saya. Komen anda pasti memberikan penambahbaikan kepada ilmu pengetahuan saya dan juga kepada paparan blog saya.