25 August 2023

Istanbul dan Bursa , Turkiyee : Kota pertembongan budaya Catatan ke 2

Catatan : Mohd Asri Redha
Tarikh: 19 Ogos 2023



 Assalaamualaikum, WRT dan Selamat Siang  buat sahabat-sahabat yang masih sudi membaca catatan-catatan perjalanan saya ni.. Saya doakan sihat walafiat selalu...

Tergerak hati untuk menulis balik akan aktiviti-aktiviti yang masih baru saya ikuti  ini ketika berada transit di Lapangan Antara bangsa Istanbul .. iaitu Program Ziarah Istanbul /Bursa dan Madinah serta seterusnya mengerjakan Umrah di Mekah.. Program ini bermula dari 06 Ogos 2023 hingga 19 Ogos 2923. Saya mula menulis catatan ini sewaktu saya berada di Lapangan Terbang Istanbul, Turkiye dalam perjalanan pulang dari Jeddah, Arab Saudi ke KLIA.. Perjalanan dengan Turki Airline kena transit selama 4 jam di Lapangan Terbang Istanbul tersebut, dan seterusnya menukar kapalterbang di situ ke KLIA..  Jadi dalam tempoh masa transit selama lebih 4 jam tu sempat lah juga saya  jari-jemari saya bermain dengan huruf dan angka dalam phone untuk disusun menjadi perkataan dan  ayat yang boleh difahami dan dimengerti. Kat Airport ni boleh dapat internet percuma, tapi hanya sejam sahaja diberi masa.. Itupun kena dapatkan passwood dari kiosk yang disediakan.

Rasa rugi pula  kalau saya  tidak merekodkan kembali catatan perjalanan ini, sekurangnya ada juga kenangan-kenangan yang boleh menjadi ingatan dimasa hadapan untuk tatapan anak cucu bila kita dah tiada nanti dan juga mungkin menjadi pengetahuan berharga kepada sahabat-sahabat yang ingin mengerjakan ziarah seperti ini..  Banyak perkara-perkara yang boleh saya ceritakan sebagai pengajaran dan maklumat kepada pembaca..  

Walaupun sebelum ini saya pernah ke Istanbul, Madinah dan Mekah, tapi saya menulis dalam perspektif yang berlainan pula, kerana setiap kali kita pergi walau pun tempat yang sama,  ada saja perkara-perkara baru yang boleh kita alami dan ketemui..Jadi daripada ia hilang begitu sahaja maklumat itu baik saya coret-coret pi la sedikit sebanyak apa yang saya alami dan apa maklumat yang ada untuk pengetahuan pembaca blog yang budiman..

Catatan-catatan perjalanan saya sebelum ini ke Instanbul,  Madinah dan Mekah ada saya sertakan link seperti dibawah :

Sebenarnya perjalanan ziarah Istanbul /Bursa dan Umrah ini telah saya rancang sejak sebelum bersara lagi..untuk mengambil manafaat kemudahan bercuti umrah. Malangnya setelah segalanya siap diator dan pembayaran semua telah dibuat  dan tarikhnya telah pun ada, tiba-tiba bencana Covid-19 telah mula merebak dengan dahsyatnya keseluruh dunia .hingga menyebabkan perjalanan saya ini telah ditangguhkan ke satu tarikh yang tidak pasti. Saya menggunakan pakej yang disediakan oleh ssebuah yarikat travel agensi  yang  dikenali ramai.. Maka tergantunglah perjalanan saya dengan kerugian tambang kapal terbang yang telah diambil sendiri untuk 3 orang pergi balik dari Alor Setar - KLIA - Alor Setar dan juga kos cucuk 2 jenis vaksin..  Untuk Pakej perjalanan yang disediakan oleh Syarikat travel agensi tersebut , duit yang telah dibayar tersimpanlah dengan Syarikat tersebut..Nasib baiklah 2 tahun kemudian duit tersebut dapat kembali, tapi syarikat simpan juga deposit RM700 seorang sebagai jaminan untuk memastikan kita kena pergi dengan mereka juga bila perjalanan umrah dibuka semula setelah wabak  COVID-19 reda. 

Setelah bersara 2 tahun dalam bulan Ogos 2023 baru saya dan isteri mempunyai masa yang sesuai untuk pergi mengerjakan umrah dan ziarah sekali gus.. Namun harga pakej ziarah telah berubah dengan begitu mendadak .. Kalau sebelum ini harga pakej kami boleh  untuk 3 orang , tapi sekarang dengan harga yang lebih kurang sama hanya mampu untuk tampong 2 orang sahaja.. Anak saya yang  cadangan asalnya akan pergi bersama, kali ini tidak dapat pergi juga kerana terikat dengan komitmen kerja yang baru beliau dapat.

Sebenarnya harga pakej yang diberikan oleh syarikat pengendali adalah asas sahaja, tidak termasuk tambang pengangkutan ke KLIA dari Alor Setar dan kembali, cucuk vaksin,  insuran yang lebih komprehensif, dan juga tambang naik kereta api laju (sebagai pilihan)., lawatan-lawatan tambahan yang diaturkan yang berbayar,  sewa scooter utk tawaf dan sai' (sebagai pilihan) , juga keperluan komunikasi, dobi, Dam kalau ada, aktiviti sedekah  dan pembelian makanan-makanan tambahan. Itu tidak termasuk shopping2 lagi. Jadi sebenarnya persiapan kewangan banyak juga la... perlu disediakan. Kalau pilih pakej premium yang hotel penginapan dekat dengan masjid, lagi la mahal... Saya hanya ambil pakej biasa dan jarak hotel penginapan tidaklah jauh sangat dari masjid samada di Madinah dan di Mekah..  Ok la .. Lebih kurang  36 orang yang ada dalam group ziarah dan umrah saya kali ini.. seorang pun saya tidak kenal..  jadi saya mendapat kawan baru dari merata tempat seperti Johor, Pahang, Selangor, Labuan, Pulau Pinang dll ... semua baik-baik belaka dan friendly.. 

Perjalanan dari KLIA ke Istanbul mengambil masa lebih  10 jam dengan penerbangan Turki Airline (8784 km).. Kami menginap 3 malam di Turki, iaitu 1 malam di Bursa dan  2 malam di Instanbul.  Jadi catatan ini akan bermula dengan lawatan di Istanbul dan Bursa dahulu sebelum bab berikutnya kita ziarah Madinah dan Mekah.
Penginapan di Bursa

Sebenarnya saya tidak hendak bercerita panjang fasal sangat Istanbul ini kerana sebahagiannya saya pernah  bercerita dalam blog terdahulu seperti link yang diberikan diatas. Walaupun sudah 10 tahun berlalu,  saya pernah datang ke Instanbul dan kini datang kembali, saya lihat tidak banyak sangat perbedaannya.. cumanya mungkin kedatangan pelancongnya semakin bertambah dan penduduknya juga semakin bertambah..  Ada juga produk-produk pelancongan  baru yang disediakan... tapi pada umumnya saya lihat tidaklah berubah sangat.. Jadi cerita saya pada 10 tahun lalu masih releven lagi.  Cumanya di Bursa sahaja saya tidak pergi lagi masa itu. 

Istanbul sememangnya kotaraya metropolitan yang berkembang pesat dengan sektor pelancongannya begitu aktif... setiap masa, penoh dengan pelancong dari Asia dan Barat... difahamkan Istanbul terletak ditangga ke 9 sebagai destinasi pelancongan terkemuka didunia. Penduduknya sahaja 14.5 juta orang , tidak termasuk berjuta pelancong masuk ke Instanbul setiap bulan.

Sebenarnya lawatan 4 hari ke Turkiye sememangnya tidak mencukupi untuk melawat begitu banyak tempat-tempat yang menarik dan bersejarah serta masuk jauh ke dalam lagi negara Turkiye ini.  Jadi tidak banyaklah tempat-tempat yang kami lawati, hanya sekadar melawat masjid-masjid bersejarah yang ada disekitar Istanbul dan Bursa serta makam-makam orang-orang kenamaan mereka dan pusat membeli belah popular di Grand Bazar dan Spice Bazaar..  Tujuan asal kami ialah untuk mengerjakan umrah, jadi lawatan ini hanya sampingan sahaja sebelum melanjutkan perjalanan ke Madinah dan Mekah.

Grand Bazar  dan Spice Bazar

Dua  tempat shopping  ini wajib pergi.. Ramai gila pelancong yang datang.. Di Grand Bazar terdapat sekitar 3,000 kedai didalamnya dan jumlah pengunjung yang setiap hari pada ketika-ketika tertentu boleh mencapai 300,000 orang. ada 61 lorong didalamnya.. boleh sesat didalamnya .  Untuk menjadi sebesar dan sepopular ini bukan mengambil masa yang singkat.. sejarah bazar ini bermula sejak tahun 1461 lagi..  memang lama sangat... Kalau beli barang , pandai-pandai lah tawar menawar, kerana kebanyakan pekedai tidak meletakkan tanda harga pada barang jualan mereka.. Boleh dikatakan barang dagangan mereka itu lebih kurang sama saja. seperti pakaian, manisan-manisan, rempah ratus, permaidani, pinggan mangkok klasik, barangan hiasan dan emas, barang-barang dapor, barangan kulit dan sebagainya... Memang rabun mata tengok ...  tapi saya nak  shopping apa , kalau terpaksa angkut pula pi Mekah dan Madinah. Kat Madinah dan Mekah nanti shopping lagi. Lainlah kalau semata-mata pergi Turki boleh beli barang-barang perhiasan yang sememangnya amat menarik dan berkualiti buatan Turki. Saya difahamkan lebih 80 juta pengunjung setahun datang ke Grand Bazar ini.. So.. bayangkan industri pelancongannya macam mana.. hebat kan.. 

Spice Bazaar
Spice Bazar adalah pasar kedua terbesar di Istanbul.. Banyak diniagakan ialah pasar rempah2 dan herba terbesar di didunia. Kita akan dapat melihat kepelbagaian makanan dunia dan disamping rempah ratus tempatan.. Yang popular ialah saffron, teh bunga dan kaviar yang datang dari pelbagai negara. Spice Bazar ini kadang-kadang disebutkan juga Egyptian Bazar kerana ia dibina menggunakan hasil pendapatan kerajaan Ottoman di Mesir pada tahun 1660... Hasil pendapatan pasar ini sebahagiannya diguna duntuk menguruskan Yni Camii iaitu Masjid Baru terletak dekat sangat dengan Bazaar ini. Kami sembahyang disini dan berehat-rehat kat dalam masjid ini setelah letih ronda-ronda dalam bazaar tersebut. 

Tudia punya besar dan panjangnya batu nisan ..
Ini yang saya tengok diluar bangunan. Dalam 
bangunan lagi gah makam tu..  Ikut status si mati
tu rasanya
Makam Sultan dan Orang-Orang Besar Turki

Satu perkara  yang saya hendak cerita berkenaan Turki ini ialah berkenaan ketaksuban orang Turki terhadap kubur-kubur orang ternama mereka.. Seingat saya masa lawatan ke Istanbul dan Bursa ini ialah banyak melawat Masjid-Masjid yang dibina dizaman Khalifah Uthamaniyyah dulu yang begitu klasik, penoh ukiran senibina Islam dan Byzantine. Yang pastinya mesti ada makam-makam yang t erletak bersebelahan masjid.. Orang Turki sememangnya mengagong-agongkan pemimpin mereka terdahulu, dan pemimpin-pemimpinnya juga suka untuk membina struktur bangunan besar yang didalamnya ada  makam-makam tersebut untuk diri mereka dan biasanya dibuat sebuah masjid bersebelahan.  Sayapun agak terkejut juga melihat makam-makam mereka itu.. tak taulah saya bagi orang-orang biasa disana, dikebumikan macam mana, tapi makam-makam yang saya lawati ini memang hebat-hebat dan dijaga rapi.. sayapun dah jadi keliru banyak sangat makam-makam besar yang dilawati..  tak tau yang mana satu. Memang masjid-masjid yang dibina hebat-hebat belaka disamping tersergam besar dan indah dan penoh keseniannya. Mengikut kata pemandu pelancong kami, sultan-sultan atau pemimpin2 besar Turkiye pasti akan membina masjid sebagai tanda peninggalan mereka dan makam sebagai makam mereka sendiri untuk disemadikan di situ.  Sebab itu masjid banyak kat Turkiye walaupun letak tidak berjauhan antara satu sama lain. Setiap Masjid dan Makam itu  pula dibuat binaan-binaan yang besar-besar dan indah-indah. dan sudah tentu kosnya tinggi.  Tak taulah pengisiannya macam mana.. setakat yang saya lawati, tidak ramai bersembahyang didalamnya.. yang ramainya orang melawat . 

Pemandangan dalam Masjid Camlica .. Masjid
yang amat besar yang dibina dizaman Presiden
Erdogan 



Rombongan kami juga sempat melawat Masjid yang baru disiapkan pada tahun 2019 . Ia dibina atas insiatif  Presiden Recep Tayyib Erdogan.. Masjid ini difahamkan yang terbesar sekali di Turkiye.. dengan kos 110 juta US. Ia boleh memuatkan 63 ribu jemaah pada satu-satu masa. Nampaknya Presiden Erdogan pun nak tinggalkan masjid juga untuk generasi akan datang mengingatinya  sebagaimana sultan-sultan  zaman Uthmaniyyah .  Saya hanya nak ceritakan hanya beberapa masjid , makam dan istana yang dilawati oleh rombongan kami .

Aya Sofya (Bahasa Turki: Kebijaksanaan Yang Suci) atau Hagia Sophia ( Bahasa Yunani :Hikmah Yang Suci)

Beribu orang setiap hari datang melawat 
masjid Aya Sofya ini.. termasuk orang bukan
Islam.. Nampak macam bebas saja masuk 
keluar masjid ini.. Ada setengah tu tidak 
mematuhi peraturan pakaian masuk ke masjid
 seperti mana yang ditetapkan.
Sepuluh tahun yang lalu saya pernah datang ke Masjid ini, tapi waktu itu ia tidak dijadikan masjid, tetapi hanya muzium dan nak masuk kena bayar.. Bangunan ini berumur lebih 1400 tahun dan telah menjadi saksi 3 tamadun dunia yang berbeda iaitu Kerajaan Constantinople, Kerajaan Uthmaniyah dan Kerajaan Turki Moden. Bangunan ini menjadi bangunan tercantik dan teragong didunia dan diktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Selepas 1000 tahun sebagai gereja, Sultan Fateh Mehmed II pada zaman kerajaan Uthmaniyah telah menukarnya menjadi sebuah masjid . Namun pada pemerintah Mustafa Kamal Altartuk telah menjadikannya sebagai muzium pada tahun 1935 dan akhirnya pada tahun 2020 Presiden Turki Recep Tayyip Endorgan telah mengembalikannya sebagai sebuah Masjid walaupun menghadapi pelbagai tentangan. Sebab itu senibina bangunan ini merupakan gabungan kesenian kristian dan Islam.. Walaupun ia masjid, tapi kerajaan Turki membenarkan ianya dilawati oleh bukan Islam. Sebab itu semasa saya masuk ke dalam, ramainya orang-orang bukan Islam masuk ziarah sampai ke dalam dan berehat-rehat didalamnya. Rasa saya ramai orang kristian yang datang untuk melihat bekas gereja mereka dulu . Mungkin sedih kut tengok gereja mereka telah ditukar menjadi masjid..  Kerajaan Turki masih mengekalkan lambang-lambang kristian yang terdapat dalam masjid tersebut .. cuma yang nampak ketara sangat ditutup dengan kain .. Seni bina didalamnya memang menakjubkan dan tinggi mutunya.

Pemandangan bahagian dalam Masjid Biru
Saya juga sempat melawat Masjid Sultan Ahmed yang terletak berdekatan Aya Sofya ini..  Masjid Sultan Ahmed ini adalah masjid bersejarah yang juga dikenali sebagai Masjid Biru oleh kerana jubin birunya menghiasi dinding dibahagian dalam masjid tersebut. Ia dibina semasa pemerintahan Sultan Ahmed 1 dan seperti kebanyakan masjid lain ia mesti mengandungi kubur penemunya. Masjid ini perlu dilawati, untuk melihat kesenian gaya Islam yang hebat. Ia boleh mengisi jemaah serentak seramai 10,000 orang jemaah. Ia menjadi satu tarikan pelancong yang terhebat di Istanbul, yang bukan sahaja dilawati oleh orang Islam , malah oleh orang bukan Islam dan pemerentah membenarkan orang-orang bukan Islam masuk ke dalam masjid ini pada waktu bukan solat 5 waktu.. 






Makam Abu Ayyub  Al Ansari

Datang ke Istanbul kena melawat ke makam ini kerana Abu Ayyub Al Ansari ialah antara sahabat Rasulullah SAW yang paling rapat ketika hayat baginda. Beliau berasal dari Madinah  suku kaum Ansar. 

Kita belajar sejarah sikit, kerana ia berkaitan dengan perjuangan jihad orang Islam mengembangkan agama Islam keseluruh dunia. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa " satu hari nanti Kota Konstantinopel di Turki akan ditakluk oleh orang Islam dan orang yang menakluknya ialah sebaik-baik pemimpin bertaraf khalifah  dan tenteranya ialah sebaik-baik tentera yang sangat soleh, tawaduk kepada Allah SWT. Rasulullah SWT bersabda ni 800 tahun yang lalu sebelum kota Konstantinople benar-benar ditawan. Abu Ayub Al Ansari ini berpegang kepada sabda Rasulullah dan ia mempunyai semangat jihad yang tinggi telah beberapa kali menyerang kota tersebut yang dibawah pemerintahan kerajaan Byzantine yang amat kuat,  sehinggalah beliau meninggal dunia dikapal laut . dan sebelum beliau meninggal beliau telah tingggalkan wasiat kepada sahabatnya agar kebumikan  mayat ia di depan Kota Konstantinopel agar ia dapat mendengar kaki2 kuda pemerintah Islam yang hebat yang sangat soleh itu menawan konstantinopel satu  hari nanti. Sahabat2 telah menanam mayat Abu Ayob Al Ansori ini secara senyap-senyap tanpa siapa tahu kewujudan kubur tersebut sehinggalah Konstantinopel berjaya ditawan oleh Khalifah Islam yang sangat hebat iaitu Sultan Muhammad Al Fatih atau nama sebenarnya Sultan Mehmed Khan II bin Murad Khan pada tahun 1458 masihi

Selepas menakluk kota tersebut Sultan Muhammad Al Fatih telah menukarkan nama Konstantinopel kepada nama Islambul ( Negeri Islam) dan kemudiannya bertukar kepada nama Istanbul. Masa inilah Sultan Muhammad Al Fateh telah bermimpi akan kubur shuhada Abu Ayub Al Ansori yang ditanam didepan Kota Konstantinople suatu ketika dahulu. Maka kubur ini digali semula dan  ditanam  berdekatan  yang lebih baik kedudukan dijaga sebaik-baiknya dan turut dibina sebuah masjid berhampirannya iaitu Masjid Sultan Eyup.. 

Sebab itu saya kata tempat ini wajib dimasukkan dalam jadual lawatan ke Istanbul sebagai penghormatan pada pahlawan Islam yang agong ini yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan orang kafir, walaupun beliau gagal tapi perjuangan itu diteruskan berterusan sehingga kepada Sultan Muhammad Al Fateh. Beliau amat percaya akan kata-kata Rasulullah seperti yang telah dinotakan diatas itu . Tapi nasib tidak menyebelahinya sehingga meninggal sebagai seorang syahid. Perjuangan beliau menjadi pencetus kepada ramai lagi pahlawan-pahlawan Islam untuk menyerang Kota Konstantinople ini tapi tetap gagal sehinggalah dengan kebijaksanaan Sultan Muhammad Al Fateh telah berjaya menakluk kota tersebut. 


Istana Topkapi

Pengunjung beratur panjang untuk masuk ke 
Istana Topkapi ini.. 
Untuk masuk ke istana ini kena bayar.. Pada hari saya melawat , beribu orang datang.. berbaris panjang pengunjung untuk membeli tiket masuk.. Tempat ini juga paling tinggi dikunjungi.. Melawat ke sini seolah-olah kita dibawa kealam dunia fantasi, dunia mewah kehidupan sultan-sultan dan raja-raja ketika zaman Uthmaniyyah dulu. Terletak diatas bukit dengan pemandangan laut Marmara dan Selat Bosphorus . Amat luas kawasan istana iaitu lebih kurang 700,000 meter persegi dan dikelilingi tembok sepanjang 5 KM. Bahagian dalam dipenuhi dengan jubin-jubin indah dan hiasan-hiasan indah yang memberi gambaran akan kehebatan Kerajaan Uthmaniyah ini. Komplek istana yang punya 5 halaman utama dan banyak bangunan yang lebih kecil dijumpai seperti menara, dapor, sekolah, masjid dan juga harem. Ahli keluarga wanita sultan tinggal di Harem, (Harem ini tempat tinggal 4 isteri Sultan dan lebih kurang 300 orang dayang-dayang )  dan pembesar-pembesar negeri mengadakan pertemuan di bangunan Majlis Imperial.. Memang hebat.. dapor nya begitu besar dan mewah, kerana difahamkan untuk menampong lebih 2,000 orang yang bertugas di istana tersebut. Bayangkanlah macam mana belanjanya setiap hari dalam Istana ini.. dan dari mana sumbernya.. 


Sebagai muzium, Topkapi memiliki peninggalan pelbagai barangan peribadi milik sultan zaman kerajaan Uthmaniyyah dan keluarga diraja, juga beberapa peninggalan yang dikatakan terkait dengan zaman  Rasulullah seperti rambut, janggut nabi, gigi nabi yang rosak dari pertemporan , jejak kaki, surat, , busur dan juga pedang. Juga terdapat peninggalan yang dikatakan dari nabi-nabi lain seperti Tongkat Nabi Musa, jubah Nabi Yusuf , koleksi pedang sahabat Rasulullah .


Bosphorus Cruise

Tidak sah ke Istanbul kalau tidak mengambil pengalaman berharga berlayar lebih kurang 2 jam bermula dari Eminonu  ke Jambatan Bosphorus dan berakhir di Eminonu. Dari kapal cruise  tersebut kita akan dapat melihat Jambatan Galata, Masjid Sulemanyi, dan bangunan-bangunan klasik disepanjang sungai tersebut. Selepas itu turun menikmati makanan Turki di bawah jambatan ..  sambil menikmati pemandangan ke arah Selat Bhosphorus yang terkenal itu.. Di atas jambatan itu ramai pemancing-pemancing yang mencuba nasib masing-masing.. Cuma yang saya hairan kat restoran disini dan mungkin ditempat lain.. restoran Islam, tapi minuman arak tetap dijual secara terbuka. Mungkin untuk keperluan orang Eropah yang begitu begitu ramai mengunjungi Istanbul.. Kalau kita di Malaysia jenoh jawab la... Hukum sah-sah haram dan berdosa pada yang menjualnya.. Tapi di Turkiye ni tak taulah macam mana.. Liberal sungguh depa.  

Ok lah.. nampaknya pengumuman telah dibuat oleh Petugas Turki Airline untuk memasuki pesawat .. Jadi saya rasa setakat itu sahaja catatan ringkas saya yang sempat saya coretkan disini untuk lawatan ke Turkiye ini ...  Sebenarnya Lapangan Terbang Istanbul ini (Istanbul Havalimani) adalah yang terbesar di Turkiye yang dibuka pada tahun 2019.. kira masih baru lagi , tapi ia mengendalikan penumpang berjumlah lebih 64 juta penumpang yang direkodkan pada tahun 2022... dan merupakan salah satu airport yang paling sibuk di Eropah.  Semasa saya mula datang ke Istanbul 10 tahun yang lalu , kapalterbang mendarat di Ataturk Airport yang terletak kira-kira 35 km dari dari Istanbul Airport. Sayapun tidak pasti airport lama tersebut telah digunakan untuk penerbangan apa bila sudah ada airport yang baru ini. Duduk dalam airport ini, tidak akan terasa boring sangat , banyak kedai-kedai barangan berjenama dan restoran didalamnya.. Harganya boleh tahan juga.. Nak jamu-jamu mata boleh la..  Kalau nak makan dalam airport ni, siap duit la..  saya minum bersama isteri, 2 gelas air coklat dan kopi lebih kurang 25 Euro.. cuba tukar tengok kepada duit Malaysia... memang amat-amat mahal laa..

Ok sampai sini dulu.. dah tak sabar nak balik tanah air ni... 2 minggu tinggal rumah.. Nanti saya akan sambung cerita ziarah ke Madina dan Mekah pula.. Banyak cerita menarik ada dalam kepala yang saya nak cerita fasal di Madinah dan Mekah tu.. tapi yang ini agak beza sikit dari yang saya pernah tulis dulu spt link yang saya beri masa awal tulisan ini ... tunggu ya sambungannya..  kalau berminat la.. saya tulis ikut suka saya saja.. simpan buat kenangan.. TQ jumpa lagi.

Baru tiba di Lapangan Terbang Istanbul dari
Kuala Lumpur







Di Makam Abu Ayyub Al Ansari

Di Makam Abu Ayyub Al Ansari



Lapangan Terbang Istanbul

Binaan di Makam Fatih Sultan Mehmet .. didalamnya ada makam
sultan tersebut

Presiden yang sedang cuba perlahan-lahan
membawa perubahan kepada cara hidup 
Islam.. 

di Masjid terbesar di Turkiye.. Masjid Camlica

Suasana dalam Masjid Camlica



Berlatarbelakangkan Masjid Camlica

Restoran

Antara senibina dan hiasan yang terdapat
dalam kebanyakan masjid di Turkiye

Mesjid Eyub .. bersama sdr Syed Hakim




 Masjid ini penoh dengan tulisan-tulisan khat yang 
amat berseni dan cantik


Hotel penginapan di Bursa bersama
sdr Haris Nazri dan Faizal.. sahabat
baru saya.

Membeli manisan di Spice Bazaar

Menjamu selera di Restoran bawah jambatan ini


Bhosporus Cruise

Mutawwif yang berserta kami sdra Faizi Hj Kurdus

Spice Bazaar



Kena pemain juga dengan penjual aiskrim ni...


Bilik Fashion Show.. Memperagakan pakaian 
dari kulit

Penerangan dari pemandu pelancong sebelum
masuk ke Istana Topkapi

Antara barang peninggalan sejarah yang dipamirkan
dalam Istana Topkapi ini

Didalam kawasan Istana Topkapi

Tram merupakan pengangkutan awam
yg utama dalam bandar Istanbul  dan 
amat efisien.


Pintu masuk Grand Bazaar






Bahagian dalam masjid Hagia Sophia

Ramai sungguh pelancong dalam pelbagai bangsa
dan agama masuk kedalam masjid Biru ini

Antara makanan yang kami santap kat Turkiye

Pemandu Pelancong kami di Turkiye





Kat Masjid Camlica.. Anjing pun dibawa masuk kat halaman 
masjid tu.. depa bermain-main pula dengan anjing tu..
kita di Malaysia .. sah-sah haram




Bas memang elok, pemandu cermat,
beg-beg dia susun sendiri kat bawah tu
Sejam memandu depa wajib berhenti 
berehat.. tertib dan bawapun tak laju..




Kedai ni dibawa oleh Pemandu Pelancong
mai.. jual manisan minyak zaiton. minyak wangi
barangan cenderamata, barang tembikar dll.
Depa kata harga berpatutan. berbanding di
bazaar.. pandai-pandailah  buat perbandingan

Nampak dibelakang tu.. tersusun botol-botol
arak... 😞

Sesuai untuk pasangan yang baru kahwin dan nak 
berbulan madu disini ..😆😉😉😉


Hotel penginapan di Istanbul

Tembok yang mengeliling Istana Topkapi.
difahamkan 5 KM panjang keliling Istana
tersebut



Macam-macam ragam manusia masuk ke Masjid..
Seluar pendek pun ada... Kesucian masjid agak 
terabai dari segi ini.

Taman dalam Istana Topkapi

Butik Pakaian Kulit pun dibawa oleh
pemandu pelancong untuk tengok
dan beli.. Ada juga sahabat yang beli
Barangan kulit original .. tentunya 
mahal



Saya tengok dalam masjid yang menjadi tumpuan ramai 
pelancong, pihak masjid ada sediakan kaunter penerangan
berkenaan 'Islamic Information' bagus juga inistiatif ini,
penerangan dan penjelasan mengenai Islam diberi terus 
kepada pelancong..  Saya lihat ramai juga yang mengerumuni
kaunter ini untuk mendapat penjelasan mengenai Islam. Secara
tidak langsung usaha dakwah dapat diterapkan dikalangan 
pelancong bukan Islam.

































asriredha teratak kasih alor setar

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melayari blog saya. Komen anda pasti memberikan penambahbaikan kepada ilmu pengetahuan saya dan juga kepada paparan blog saya.